Jordan Mintah, satu nama yang masih asing dalam saingan Liga Super walaupun sudah beberapa kali beliau tampil menggantikan penyerang utama Terengganu FC, David da Silva dalam saingan liga musim ini.
Beliau telah beraksi dalam enam perlawanan dan meledak empat gol ketika Terengganu kehilangan David da Silva yang mengalami kecederaan pada awal musim lalu. Sebaik sahaja David da Silva pulih, Jordan Mintah kembali ke pangkuan TFC II untuk meneruskan khidmatnya di sana dengan menjadi peledak sejati.
15 gol yang dilakar setakat 17 perlawanan Liga Premier yang dilalui TFC II menyaksikan mereka berada di tangga ke-4 dengan 29 mata, satu mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) II yang berkelebihan satu aksi.
📊 KEDUDUKAN LIGA PREMIER – LP20
Kuching City FC naik ke tangga kelapan liga selepas kemenangan hari ini.#LigaPremier2021 pic.twitter.com/pKf3QtujgB
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 7, 2021
Beliau juga merupakan pendahulu carta penjaring terbanyak di Liga Premier bersama penyerang JDT II, Fernando Rodriguez. Tidak jauh di belakang dengan 13 gol adalah Uche Agba dari Sarawak United.
Pemain berusia 26 tahun itu telah bersama Terengganu sejak musim lalu dan tampil membantu TFC II menamatkan musim di kedudukan kedua di liga. Beliau berjaya meledak tujuh gol dalam 10 penampilannya.
Adakah prestasi beliau langsung tidak menggamit perhatian pengendali Terengganu, Nafuzi Zain? Tak cukup bagus untuk Liga Super? Buktinya, empat gol, dua assist dalam enam penampilan pertamanya di Liga Super.
Menurut penganalisis bebas Liga Malaysia, Zuraimi Zukri, Jordan Mintah memiliki ‘baka’ Ifedayo Olusegun dalam dirinya yang jelas tidak dimanfaatkan Terengganu sepanjang dua musim beliau bersama mereka.
Aksinya lebih kepada membantu skuad simpanan TFC II di Liga Premier dan memberikan bantuan jika diperlukan untuk bersama Terengganu di Liga Super. Adakah itu standard ‘pakar statistik jaringan’ ini?
Ujar Zuraimi di laman Facebooknya tentang Jordan Mintah, “Terengganu telah membawa masuk seorang penjaring gol sejati ke dalam Liga Malaysia, namun masih belum diperagakan di pentas tertinggi domestik.”
“Si pakar statistik jaringan. [Jordan] Mintah bukan lakukan semusim tetapi 5 musim tanpa henti. Satu tempoh yang bukan senang dilakukan oleh ramai penyerang,” tambahnya lagi mengenai statistik pemain itu.
89' – WHAT A GOAL! Kaya FC 5-1 Lao Toyota!
Jordan Mintah has completed his hattrick here with a stunning strike from the distance! What a way to bring up his treble! #AFCCup2019 #KAYvLAO pic.twitter.com/S4kbuErFDS
— FOX Sports LIVE! (@FSAsiaLive) April 30, 2019
Sebelum menyertai Terengganu, Jordan Mintah merupakan penyerang terbaik di Liga Filipina apabila dinobatkan selaku penjaring terbanyak liga dengan 31 gol. Beliau juga meledak tiga gol ketika membantu pasukannya, Kaya FC dalam saingan Piala AFC 2019, namun mereka tersingkir di peringkat kumpulan.
Menurut Zuraimi lanjut, “Tanpa Mintah ‘Pasukan ll’ [TFC II] hanya meraih 6 keputusan seri dari 6 perlawanan dan hanya menjaringkan 4 gol. Mintah datang dan memperbaiki statistik tersebut dengan cemerlang.”
“‘Pasukan ll’ menang 6 dari 7 perlawanan sejak Mintah kembali. Dalam tempoh itu ‘Pasukan ll’ meledak 20 gol dan 14 darinya dari Mintah,” titipnya lagi tentang prestasi mengagumkan Jordan Mintah di Liga Premier.
Ada atau tidak pasukan Liga Super yang berminat dengan Jordan Mintah? Menurut Zuraimi, pasukan yang sesuai buat ‘pakar statistik jaringan’ ini, jika beliau berhijrah adalah pasukan tanpa penyerang, KL City FC.