‘Tiada Kelab Lebih Besar Daripada Negara’ – Suara Hati Penyokong Buat JDT Dan KL City?

Kain Rentang Tiada Kelab Lebih Besar Daripada Negara

“Tiada kelab lebih besar daripada negara”, ia adalah mesej yang disampaikan oleh penyokong Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ketika aksi terakhir peringkat kumpulan bagi saingan Piala AFF 2022 menentang Singapura tempoh hari.

Tulisan pada kain rentang itu adalah suara hati yang tidak boleh dipandang sepi. Mungkin ianya ikhlas datang dari mereka yang hadir  ke gelanggang keramat skuad kebangsaan menggunakan wang sendiri.

Sekali imbas, pastinya luahan tersebut ditujukan kepada dua kelab Liga Malaysia (Liga-M) iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City yang memohon pengecualian pemain-pemain utama mereka bagi menyertai skuad kebangsaan.

Antara pemain-pemain utama dari JDT yang tidak dapat disenaraikan bagi menyertai kejohanan dwi tahunan ini adalah Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong, Arif Aiman Hanapi, Syafiq Ahmad, Shahrul Saad dan Nazmi Faiz Mansor.

Manakala pemain dari KL City yang diminta untuk diketepikan pula adalah Zhafri Yahya, Akram Mahinan dan Declan Lembart.

Dua pemain daripada dua kelab ini yang ‘terselamat’ adalah Safawi Rasid (JDT) dan Haqimi Azim Rosli (KL City) yang kedua-duanya diberi pelepasan kerana kurang minit permainan bersama pasukan sepanjang musim lalu.

Seperti yang diketahui, ‘alasan’ utama adalah isu ‘kepadatan jadual’ selepas kedua-dua pasukan berkenaan beraksi di kejohanan Asia.

JDT mencatat sejarah baharu apabila muncul pasukan dari Malaysia pertama yang menjuarai kumpulan dan mara ke pusingan 16 terakhir saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL). KL City pula mencipta kejutan demi kejutan sehingga muncul naib juara Piala AFC.

Maka pemain-pemain utama bagi kedua-dua pasukan ini perlu diberikan rehat yang mencukupi untuk memastikan mereka mampu kembali ke tahap kecergasan terbaik menjelang musim baharu pada tahun ini.

Walau bagaimanapun, dari satu sudut pandangan yang berbeza, jadual Piala AFF meskipun secara dasarnya dilaksanakan di luar kalender FIFA, namun Malaysian Football League (MFL) telah pun berusaha untuk membantu agar ia bermula selepas Liga-M tamat sepenuhnya.

Lantas memberi peluang kepada barisan kejurulatihan yang diketuai oleh Kim Pan-gon untuk membuat penilaian dan mendapatkan pemain-pemain yang telah mempamerkan prestasi terbaik di bersama kelab masing-masing.

Pengendali warga Korea Selatan itu mengakui beliau berdepan kesukaran untuk mempersiapkan skuad terbaik apabila begitu ramai pemain menarik diri dan situasi tersebut berlaku kali pertama dalam karier kejurulatihannya.

Panggilan menyertai skuad kebangsaan ini telah dianggap sesuatu yang ‘sakral’ dan merupakan satu kehormatan yang tidak dapat ditolak oleh setiap pemain bola sepak profesional.

Menjadi sebahagian daripada skuad negara bukan sahaja memberikan peluang kepada pemain untuk memperjuangkan maruah Malaysia di peringkat antarabangsa, malah ia juga merupakan peluang kepada mereka untuk meningkatkan lagi tahap kemahiran dan kemampuan mereka dalam sukan ini.

Selain itu, panggilan skuad negara juga memberikan peluang kepada pemain untuk berkongsi pengalaman dan ilmu dengan pemain-pemain lain di peringkat kelab terutamanya kepada pemain-pemain muda.

Ini akan membantu pemain untuk lebih memahami cara permainan pasukan lain yang berbeza dengan gaya permainan mereka sendiri dan ia menjadi medan pelajaran terbaik untuk meningkatkan tahap permainan sama ada secara individu mahupun berpasukan.

Bukan itu sahaja, menyertai skuad kebangsaan juga adalah peluang terbaik buat seseorang pemain untuk membuktikan kemampuan dan kebolehan mereka kepada dunia. Pemain yang berjaya menyertai skuad negara akan mendapat pengiktirafan dan kehormatan yang amat berharga.

Justeru itu, mana-mana kelab seharusnya menjadikan panggilan untuk menyertai skuad negara adalah satu penghormatan dan peluang yang tidak ternilai harganya buat pemain mereka.

Bukan setakat pemain yang terpilih ini dapat memberikan sumbangan, malah penyokong juga akan menghargai sumbangan kelab buat nama Malaysia di mata dunia.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN