Nama bekas pemain tengah berbakat besar Kedah Darul Aman (Kedah) iaitu Halim Saari boleh dianggap sudah lama tidak kedengaran dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dalam kalangan para penyokong.
Apa tidaknya, Halim masih lagi dibelenggu dengan kecederaan yang paling ditakuti para pemain bola sepak profesional iaitu Anterior Cruciate Ligament (ACL) dan masih dalam tempoh pemulihan.
Ketika ini, Halim dilihat menyertai sesi latihan bersama Kedah untuk memberi fokus dalam pemulihan selepas kecederaan yang dialami sebelum kembali beraksi di pentas bola sepak profesional.
(1/2)
TERKINI: Pemain tengah kental Gergasi Merah, Halim Saari disahkan mengalami kecederaan ACL dan berkemungkinan terpaksa berehat untuk 9 bulan. Beliau dijadualkan untuk menjalani pembedahan pada minggu hadapan. pic.twitter.com/cCCAkEk8dD
— Selangor FC (@selangorfc) March 10, 2021
Jelas Halim, kini beliau memberi fokus sepenuhnya dalam sesi pemulihan bersama Kedah sebelum jendela perpindahan kedua ditutup tidak lama lagi bagi mencipta penampilan semula di atas padang.
Untuk rekod, Halim sebelum ini memulakan karier beliau bersama Kedah pada tahun 2016 bawah kendalian Tan Cheng Hoe dan berjaya memberi impak sangat positif di posisi tengah Sang Kenari.
Pada tahun 2019, Halim berjaya mendapat perhatian Selangot untuk ditandatangani pasukan tersebut dan kekal di sana sehingga pada musim lalu.
Namun, Halim terpaksa bergelut dengan isu kecederaan panjang yang memaksa beliau tidak begitu banyak memberi impak besar bersama Selangor sepanjang tempoh tersebut.
Ketika ini, beliau kembali ke Kedah dan mendapat perhatian ramai penyokong Sang Kenari yang sebelum itu tertanya-tanya status Halim bersama pasukan berkenaan selepas melihat pemain tersebut menjalani sesi latihan di sana.
Jelas Halim, sasaran utama beliau ketika ini sudah tentu untuk kembali mencapai tahap kecergasan terbaik dalam tempoh sebulan, sebelum kembali mendapat peluang beraksi bersama mana-mana pasukan pada masa akan datang.
“Selepas tidak terikat dengan mana-mana pasukan, saya membuat sasaran untuk teruskan sesi pemulihan saya di Majlis Sukan Negeri Kedah (MSNK) selama enam bulan sejak hujung tahun lalu.
“Sehingga sekarang perkembangan saya sudah sampai ke tahap berada di padang dan melihat pada keadaan semasa dan jika semuanya berjalan lancar, saya akan mula mencari pasukan untuk saya kembali beraksi.
“Setakat kini saya sudah menjangkaui 80 peratus proses pemulihan dan jika ikutkan sasaran saya, dalam tempoh sebulan lagi saya dapat capai sasaran penuh iaitu sebelum tempoh kedua jendela perpindahan berakhir pada Ogos,” katanya menerusi Harian Metro.
Sebelum itu, media sosial rasmi Kedah juga turut menyatakan status Halim yang menjalani latihan di sana untuk menjawab persoalan yang dilontarkan oleh para penyokong Sang Kenari tentang pemain tersebut.
ACL benda yang menjadi mimpi ngeri untuk setiap atlet sukan bukan sahaja khusus untuk pemain bola sepak sahaja.
Insiden di awal minit ke 4 permainan yang menyebabkan Halim Saari mengalami ACL dan memaksa beliau berehat selama 9 bulan.
Semoga cepat sembuh Halim 💪🏻 pic.twitter.com/Q8z8U0J548
— Footy Selangor (@footysel) March 10, 2021
“Dengan kemudahan hub prestasi sukan dan perubatan KDA FC di SSAH di bawah seliaan fisioterapi Richards, sudah pasti lebih mudah untuk Halim menguruskan jadual pemulihannya,” jelas kenyataan tersebut.