Bekas pengadil Premier League, Mark Clattenburg menyelar akan sikap profesionalisme pengadil perlawanan yang membabitkan Tottenham Hotspur dan Liverpool semalam.
Jelas beliau kekasaran yang dilakukan oleh Harry Kane kepada Andy Robertson di separuh masa pertama lebih teruk berbanding layangan kad merah yang diberikan kepada pemain Liverpool tersebut di separuh masa kedua.
Mark menganggap bahawa konsistensi pengadil Paul Tierney pada perlawanan semalam teruk dan wajar dipertikaikan.
Beliau tidak menolak bahawa layangan kad kepada Robertson sangat tepat setelah pertahanan tersebut mengasari lawan iaitu Emerson Royal.
Namun sepatutnya layangan kad yang sama juga wajar diberikan kepada Kane setelah penyerang tersebut nyata melakukan kekasaran yang teruk di separuh masa pertama.
Menurut Clattenburg, dia tidak pasti mengapa tiada layangan kad merah kepada Kane setelah kaki yang diangkat pemain berkenaan sangat tinggi dan melepasi buku lali.
Selain isu tersebut, bekas pengadil terbaik Premier League tersebut juga menggariskan beberapa isu pengadilan semalam seperti penalti terhadap Liverpool dianggap adil setelah kekasaran dari belakang yang dibuat oleh Royal kepada Jota.
Mark juga menganggap permintaan penalti Dele Alli semalam terlalu ringan untuk diberikan.
Hujah Mark, Alli dilihat melakukan ‘dive’ kerana mengesan Trent Alexander Arnold ada mengekori belakang beliau sebelum menjatuhkan badan.
Pengadil perlawanan melihat dari sudut yang tepat apabila tiada sentuhan dibuat tepat kepada Alli.
Andy Robertson juga mengaku bertanggungjawab atas keputusan perlawanan semalam di Instagram beliau atas kekasaran dibuat yang mengakibatkan keputusan semalam tidak memihak mereka dek kekurangan seorang pemain.
Beliau juga tidak ingin mengulas sebarang insiden semalam dan bangga akan aksi yang dipamerkan rakan sepasukan.
Perlawanan semalam menyaksikan Tottenham Hotspur dan Liverpool terikat dengan keputusan 2-2.
Aksi panas dengan pelbagai kekasaran dilakukan kedua pasukan yang dibuat sepanjang permainan berlangsung membuatkan kredibiliti pengadil Tierney dipersoal.