Menang 2-0 ke atas Kelantan United di tempat lawan dalam aksi pembukaan saingan Piala Malaysia 2022, ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe pastinya tidak mahu pemainnya dibuai rasa selesa dengan bekalan gol yang dibawa pulang menjelang aksi timbal balik.
Perlawanan pembukaan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu itu menyaksikan penyerang import Herlison Caion menjaringkan gol pada setiap separuh masa.
📹 HIGHLIGHTS: Kelantan United FC 0-2 @selangorfc
Dua gol oleh Caion memastikan Selangor membawa kelebihan dua gol menjelang aksi timbal balik Pusingan 16 TM Piala Malaysia. #TMPialaMalaysia2022 pic.twitter.com/Txn86zXUxw
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 26, 2022
Kemenangan tersebut juga memanjangkan rekod tanpa kalah Cheng Hoe sejak mengambil alih pasukan pada bulan lalu. Tetapi beliau tetap tidak mahu pemainnya berwaspada dengan taktikal berbeza yang akan ditampilkan pasukan lawan pada aksi timbal balik selepas ini.
“Secara keseluruhan saya rasa bekalan 2-0 ini cukuplah untuk kita apabila bermain di tempat lawan. Kalau lihat kita pun terlepas banyak peluang-peluang terbaik depan gol,” ujar jurulatih berusia 54 tahun itu dalam sidang media selepas perlawanan.
“Jadi untuk perlawanan akan datang kita harap pemain-pemain perlu manfaatkan setiap peluang di depan gol kerana situasi akan berbeza apabila kita bermain di laman sendiri nanti.”
“Sebelum kita jaringkan gol, kita lihat memang Kelantan United juga ada dua atau tiga kali melakukan serang balas yang berbahaya dan nyaris-nyaris kami dibolosi gol.
“Jadi saya rasa kemungkinan besar Kelantan United akan menggunakan perlawanan tersebut dengan corak permainan yang berbeza kerana mereka perlu mendapatkan kemenangan. Mungkin taktikal yang berbeza akan digunakan oleh jurulatih Kelantan United.”
Ketika ditanya mengenai ‘laluan mudah’ Selangor yang diundi bertemu pasukan dari Liga Premier, Cheng Hoe menegaskan teori tersebut tidak terpakai untuk kejohanan yang menggunakan format kalah mati kerana pasukan kecil berupaya untuk membuat kejutan ke atas pasukan pilihan.
📸 AKSI PERLAWANAN – PM R16-1
KELANTAN UNITED FC 0-2 SELANGOR FC#TMPialaMalaysia2022 pic.twitter.com/Vas3rHqWp4
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 26, 2022
“Saya tak nampak itu sebagai laluan mudah. Dalam mana-mana kejohanan terutamanya dengan format kalah mati, kita boleh nampak kadang-kadang pasukan yang di bawah boleh kecewakan pasukan di atas,” tambahnya.
“Namun saya ucapkan tahniah kepada para pemain kerana ia situasi yang berbeza dan mereka begitu fokus inginkan kemenangan dan mahu jaringan besar. Dalam bola sepak kita perlu fokus dengan setiap peluang di depan mata kita.
“Rata-rata pemain kita masih lagi muda, banyak lagi perlu dipelajari terutama kesalahan-kesalahan individu yang boleh mengakibatkan dibolosi gol. Saya nak pemain-pemain apabila di bawah tekanan masih boleh kekalkan corak permainan.
“Walaupun hujan lebat sedikit sebanyak mengganggu taktikal, tetapi sebagai jurulatih saya tak boleh jadikan hujan sebagai alasan untuk tidak menjaringkan gol. Cuaca di Malaysia juga memang musim hujan, jadi pemain-pemain perlu menyesuaikan diri mereka dengan sebaik mungkin.”