Kylian Mbappe mungkin merupakan antara pemain terbaik di dunia pada ketika ini dengan kemahiran menakjubkan dipamerkan pemain berusia 20 tahun itu.
Di samping cemerlang bersama skuad kebangsaan Perancis, Mbappe juga merupakan penjaring terbanyak saingan Ligue 1 dengan 22 gol diledakkannya selepas mengharungi 25 perlawanan.
Dengan keupayaan luar biasa ditampilkannya, sudah pasti ia mencuri tumpuan pengurus Paris Saint-Germain, Thomas Tuchel.
Tanpa berselindung mengenai kualiti luar biasa yang menjadi senjata utama Mbappe, Tuchel turut tidak dapat melupakan bekas pemainnya ketika membimbing Borussia Dortmund iaitu Pierre-Emerick Aubameyang.
”Ini merupakan satu soalan yang bahaya,” jawab Tuchel sambil ketawa. ”Saya pernah membimbing Aubameyang, Ousmane Dembele. Auba sentiasa berada di hati saya.”
”Kylian (Mbappe) adalah luar biasa, tetapi Neymar dan (Edinson) Cavani juga berada di sana (PSG). Saya tidak suka frasa ‘yang terbaik’ atau ‘lebih baik berbanding’. Kami sangat gembira dengan pemain kami.”
”Semua yang berada di bilik persalinan tahu betapa Mbappe boleh dipercayai dan sangat penting, tetapi saya tidak meletakkan ranking pada pemain.”
”Dia masih mempunyai perkara yang perlu dipertingkatkan, walaupun sekiranya ia sukar untuk dipercayai.”
‘”Dia sangat penting pada musim ini,” jelas Tuchel lagi.