Penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois mengakui yang generasi skuad kebangsaan yang disertainya bukanlah sehebat yang dikatakan orang ramai.
Dianggap sebagai skuad generasi emas, Belgium bagaimana pun tidak berjaya menghidupkan jangkaan penyokong bola sepak negara itu apabila langsung tiada sebarang kejuaraan dibawa pulang.
Lebih mengecewakan, skuad yang disertai oleh pemain-pemain seperti Eden Hazard, Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku dan Jan Vertonghen tumbang seawal peringkat kumpulan Qatar 2022 dengan ianya menjadi penutup kepada kisah ‘generasi emas’ ini.
Courtois mengakui yang beliau dengan rakan-rakannya bukanlah generasi emas yang dicanang oleh orang ramai.
“Susah nak mengakui gelaran [generasi emas] tersebut apabila kita tidak berjaya memenangi apa-apa.
“Kami bukanlah generasi emas. Kami cumalah generasi pemain-pemain berbakat yang beraksi di serata Eropah,” kata Courtois.
Skuad ‘generasi emas’ Belgium ini sememangnya tidak berjaya untuk menghidupkan jangkaan yang diletakkan dalam tiga kejohanan.
Ketika Piala Dunia 2014, mereka tersingkir ditangan Argentina di suku akhir sebelum dimalukan Wales di peringkat sama pada EURO 2016.
Pencapaian terbaik ‘generasi emas’ Belgium ini adalah apabila mereka berjaya merangkul tempat ketiga Piala Dunia 2018 di Rusia selepas terkandas di separuh akhir.
Di EURO 2020, mereka sekali lagi dikecewakan di suku akhir apabila dikalahkan Itali dengan jaringan 2-1.
Penutup bagi kisah mereka ini berakhir dengan nota duka apabila tersingkir di peringkat kumpulan Qatar 2022 selepas menamatkan saingan dibelakang Maghribi dan Croatia.
“Kami tunjukkan kepada semua yang kami mampu bermain bola sepak yang baik ketika di Rusia 2018.
“Tetapi pada Piala Dunia dan EURO yang terakhir ini, kami tidak menjadi diri kami sendiri. Ianya agak memalukan,” tambah Courtois.
Courtois memberikan bayangan yang dirinya tidak akan bersara daripada skuad kebangsaan selepas Qatar 2022.
Sebaliknya, beliau mahu meninggalkan pasukan ketika Belgium menikmati masa yang indah.