Qatar 2022: ‘Samurai Biru’ Bukan Sekadar Gelaran, Tapi Watak Sebenar Untuk Kuasai Dunia

Jepun Piala Dunia 2022 Qatar Samurai Biru

Pemain senior Jepun, Yuto Nagatomo mempunyai analogi unik tersendiri untuk memberi gambaran tentang persediaan pasukannya menjelang pertemuan dalam aksi kalah mati menentang Croatia.

Bagi pertahanan berusia 36 tahun itu, nama ‘Samurai Biru’ bukan sekadar gelaran, tetapi ia adalah watak sebanar pasukan negara matahari terbit itu apabila turun ke medan perjuangan.

“Untuk menggunakan analogi samurai, sebelum mereka pergi berperang, mereka akan asah senjata dan tingkatkan teknik pertempuran dahulu, ujar Nagatomo dalam temubual bersama The Guardian.

“Jika mereka gentar dalam peperangan, mereka tak mampu untuk menggunakan senjata dengan teknik yang betul. Sama juga dalam bola sepak. Taktik dan teknik adalah amat penting, tetapi jika kamu gugup, semuanya sia-sia.

“Untuk maksimumkan semua taktik yang telah dipelajari semasa latihan sepanjang empat tahun ini, kami perlukan keberanian. Samurai Jepun sangat terkenal di seluruh dunia dan kami mahu berjuang seperti samurai.

“Esok kami mahu persembahkan kepada dunia betapa beraninya kami ketika berjuang.”

Jepun kini dalam misi untuk mara ke suku akhir buat kali pertama dalam sejarah selepas tiga kali merasai kekalahan di pusingan 16 terakhir. Tewas 1-0 kepada Turki ketika menjadi tuan rumah bagi edisi 2002, kemudian tewas kepada Paraguay pada 2010 dan dikecewakan Belgium empat tahun lalu.

“Saya tak pernah lupa pertembungan dengan Beligum, memori itu kekal bersama saya,” tambah Nagatomo.

“Kadang kala saya secara tiba-tiba teringat sesuatu daripada perlawanan tersebut. Sepanjang empat tahun lalu cukup mencabar buat saya, tetapi kami telah mengharungi sebuatnya dengan membina kekuatan mental dan fizikal.

“Saya telah menyertai empat edisi Piala Dunia dan saya boleh cakap ini adalah skuad Jepun paling kuat dalam sejarah Piala Dunia.”

Tidak dinafikan bahawa Jepun ketika ini telah meningkat dari pelbagai aspek terutamanya pembangunan individu dan kini tahap permainan Jepun tidak jauh berbeza dengan pasukan-pasukan gergasi dunia yang lain.

Program pembangunan akar umbi, pemain muda dan jurulatih di seluruh negara dan bakat-bakat yang bertebaran di sleuruh dunia membuktikan negara ini dalam landasan terbaik untuk menjadi salah satu kuasa besar dalam bola sepak dunia.

Leave a Reply