Penjaga gol utama Real Madrid, Thibaut Courtois yakin bahawa rakan sepasukannya, Eden Hazard akan kembali menikmati prestasi terbaiknya bersama kelab gergasi Sepanyol tersebut.
Hazard yang menikmati kemuncak prestasi ketika bersama Chelsea dilihat begitu bergelut untuk mengulangi kehebatannya selepas berhijrah ke Real Madrid pada jendela perpindahan musim lalu.
Masalah kecederaan yang sering dialaminya menyaksikan pemain berusia 29 tahun itu hanya mampu membuat 16 penampilan dalam semua pertandingan pada musim lalu manakala masih belum beraksi pada musim baharu ini.
Sebagai rakan yang sudah cukup lama bersama dengannya termasuklah ketika menyarung jersi Belgium dan Chelsea, Courtois tanpa ragu-ragu melihat Hazard tidak berdepan masalah untuk kembali memperagakan aksi terbaiknya.
”Hazard? Saya tidak ragu dengannya, saya yakin kita akan dapat kembali melihat aksi yang terbaik dari Eden Hazard.”
”Dia merupakan individu pertama yang ingin membuktikan kehebatannya. Saya melihat usahanya dengan cukup baik dan diharapkan agar dia dapat segera membuktikan kehebatannya.”
”Hanya sebelum dia mengalami kecederaan, dia telah bermain pada beberapa perlawanan dengan sangat baik. Bagaimanapun dia mengalami nasib buruk dan sukar buatnya untuk keluar daripada keadaan itu [kecederaan].”
”Tetapi pada bulan ini saya melihat dia telah berlatih dengan baik. Saya tidak pasti bila tetapi dia akan meledak dan memberikan lebih banyak kegembiraan buat pasukan,” ujar Courtois menurut laporan Goal.
Selepas mengharungi empat perlawanan liga, Real Madrid kini menghuni tangga teratas La Liga hasil 10 mata yang dicatatkan susulan tiga kemenangan dan satu keputusan seri.
El Clasico pada 24 Oktober ini bakal mencuri tumpuan dan pastinya menjadi perlawanan La Liga paling ditunggu-tunggu bulan ini.
Kredit featured image: Philippe Crochet / Photonews via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Eden Hazard:
Eden Hazard: Saya Perlu Lebih Bekerja Keras Pastikan Benar-Benar Bersedia