Eden Hazard: Saya Perlu Lebih Bekerja Keras Pastikan Benar-Benar Bersedia

Eden Hazard

Pemain Real Madrid, Eden Hazard mengakui beliau perlu lebih bekerja keras bagi memastikan dirinya benar-benar bersedia untuk turun beraksi dalam memperkuatkan jentera serangan kelab gergasi Sepanyol itu.

Hazard yang baharu sahaja pulih daripada kecederaan dialami pada Februari lalu sudah mula menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukannya di Ciudad Real Madrid.

Bintang kelahiran Belgium itu mengalami kecederaan tersebut ketika perlawanan La Liga yang menyaksikan Real Madrid tumbang 0-1 ditangan Levante.

Dengan perkembangan terkini yang dihadapinya itu, Hazard mengakui cukup gembira kerana sudah dapat menyertai latihan pasukan.

”Saya sangat gembira kerana dapat kembali ke padang untuk bekerja dengan rakan sepasukan saya yang lain.”

Embed from Getty Images

”Kini kami hanya perlu menunggu bila perlawanan akan kembali tetapi saya sangat gembira. Selepas dua bulan tidak beraksi, saya memerlukan lebih kerja fizikal dan bersama bola,” ujar Hazard menurut laporan dikeluarkan Goal.

”Saya hanya mahu benar-benar bersedia untuk menghadapi perlawanan seterusnya.”

”Ketika ini, sesi latihan kami berjalan dengan baik, kami boleh menjalani latihan dengan cara yang kami mahukan. Minggu pertama memang sedikit pelik tetapi kini kami telah berlatih dalam berkumpulan dan juga mula melakukan latihan menyerang.”

”Kami hanya mahu bersama dan cuma untuk bekerja dalam kumpulan,” ujar Hazard lagi.

Hazard yang berhijrah ke Real Madrid pada jendela perpindahan musim panas lalu selepas cemerlang selama tujuh musim bersama Chelsea tidak menikmati musim dengan begitu meyakinkan apabila sekadar membuat 15 penampilan dengan hanya menjaringkan satu gol.

Gol tersebut menjelma dalam saingan La Liga ketika Real Madrid menumpaskan Granada 4-2 di Santiago Bernabeu yang mana Hazard menjaringkan gol kedua buat Los Blancos pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Kredit featured image: Jean Catuffe/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Hazard:

Leave a Reply