Perjalanan karier Theerathon Bunmathan di bumi Jepun terus berpanjangan selepas juara Liga J1, Yokohama F. Marinos mengikat pemain pertahanan Thailand itu secara tetap bagi menghadapi musim baharu.
Kenyataan rasmi berhubung perpindahan itu diumumkan di laman Facebook rasmi SCG Muangthong United yang menjelaskan bahawa Theerathon sudah melengkapkan perpindahan secara tetap bersama Yokohama F. Marinos.
Yokohama F. Marinos bukanlah asing buat pemain berusia 29 tahun itu selepas beliau dipinjamkan pada musim 2019 yang sekaligus menyaksikannya menjadi pemain dari Asia Tenggara pertama menjuarai saingan Liga J1.
Lebih manis untuk diperkatakan mengenai kejayaan tersebut, Theerathon berjaya menjaringkan satu gol dan satu bantuan jaringan ketika membantu Yokohama F. Marinos menumpaskan pesaing terdekat, FC Tokyo 3-0 pada aksi terakhir Liga J1 2019.
Perkembangan terkini itu menyaksikan Theerathon Bunmathan menjadi pemain kedua dari Thailand yang berpindah secara tetap ke Liga J1 bagi mengikuti jejak langkah Chanathip Songkrasin, kini menyarung jersi Consadole Sapporo.
Theerathon memulakan karier bola sepak profesional pada tahun 2008 apabila menyarung jersi Rajpracha dan setahun kemudian berhijrah ke Buriram United.
Selepas tujuh musim bersama pasukan yang dikenali sebagai Thunder Castle itu, Theerathon mengubah angin ke Bangkok untuk bersama Muangthong FC pada 2016.
Tahun 2017 menyaksikan bakatnya mula dikesan pasukan dari Jepun apabila dipinjamkan ke Vissel Kobe dan pada musim ini beliau mendapat tempat pula di hati pengurusan dan peminat Yokohama F. Marinos.
Kredit foto: Theerathon Bunmathan