Quantcast

KAJIAN & FAKTA

The Missing Piece: Aidil Sharin Buru ‘Jeneral Perang’ Untuk Dibawa Ke Darul Aman

Kedah telah mengumumkan senarai 29 pemain untuk musim 2020. Ia sudah hampir lengkap. Mereka hanya menanti untuk menambah satu lagi pemain iaitu bagi mengisi slot pemain import Asia.

Menurut sidang media tempohari, dimaklumkan bahawa pemain import Asia yang diburu adalah pemain di posisi tengah di mana pemain daripada Tajikistan, Australia dan Jepun menjadi pilihan.

Pemain yang akan diterbangkan masuk itu mestilah lebih baik daripada pemain yang digugurkan daripada skuad 2019, Edgar Bernhardt. Itulah ‘The Missing Piece’ untuk skuad Kedah musim 2020. Mampukah Kedah mendapatkan pemain yang lebih baik?

Hampir sempurna

Boleh dirumuskan, setakat ini Kedah telah melengkapkan hampir di setiap posisi dengan pemain yang akan bertindak sebagai pemain regular dan juga pemain simpanan. Posisi paling bermasalah pada musim lalu iaitu pertahanan juga nampaknya sudah ditambahbaik.

Misalnya, posisi bek kanan, Rizal Ghazali sudah mendapat pesaing baharu yang mampu menggalas tugasnya jika beliau digantung perlawanan ataupun tercedera iaitu Zulkhairi Zulkeply, yang juga boleh beraksi di posisi pertahanan tengah dan kiri jika diperlukan.

Irfan Zakaria

Kredit Foto: FAM

Untuk pertahanan tengah, selain Khairul Helmi Johari yang sudah boleh digelar sebagai ‘super senior’, kini kehadiran pemain skuad Sukan SEA 2019, Irfan Zakaria akan memudahkan tugasan Aidil Sharin untuk menggantikan sama ada Renan Alves atau Shakir Hamzah yang merupakan tonggak utama posisi tersebut.

Kehadiran Shahril Sa’ari dijangka sangat tepat untuk memberikan cabaran baharu buat Ifwat Akmal yang selama ini langsung tidak tercabar. Ini masanya untuk Ifwat Akmal membuktikan yang dirinya sentiasa adalah penjaga gol nombor satu untuk Helang Merah.

Jentera serangan berwajah baharu iaitu ‘Double K’, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman pula dijangkakan akan paling mencuri tumpuan dengan kedua-duanya sudah berpengalaman di Liga Malaysia selain sangat tajam apabila bola berada di kaki mereka.

Missing Piece: Jeneral di tengah

Kedah perlu melengkapkan posisi tengah ini dengan pemain yang tepat. Edgar Bernhardt bukanlah terlalu teruk prestasinya pada musim lalu apabila mampu menjadi antara penyumbang assist yang banyak buat pasukan selain kapten, Baddrol Bakhtiar.

Namun, mungkin Aidil Sharin tidak menjumpai ‘sesuatu’ daripada pemain skuad kebangsaan Kyrgyzstan itu. Penulis merasakan yang pengendali kelahiran Singapura itu mahukan pemain yang boleh bertindak seperti seorang ‘jeneral perang’ apabila diturunkan.

Lee Tuck, Terengganu FC, Irfan Bakti

Lee Tuck Raikan Jaringan Kamal Azizi ketika menentang JDT dalam aksi MSL. (Foto: ROZAINAH ZAKARIA/NST)

Harus diakui, Kedah memerlukan pemain tengah seperti Brendan Gan dan Lee Tuck yang memiliki aura pahlawan disamping sedikit aura diva apabila memimpin jentera tengah bagi mengatur asakan mahupun membantu benteng di saat yang memerlukan. Semua pasukan hebat ada dan jelas memerlukan pemain sebegini!

Tetapi, secara realistik, penyokong Kedah seharusnya sejak awal menjangkakan, kedua-duanya tidak pernah akan ke Kedah. Ngolo Kante? Ini satu khabar angin yang seakan-akan untuk melonjak imej baharu skuad Kedah 2020. Biarpun merepek tetapi padu!

Siapakan jeneral padang yang sedang diburu oleh Kedah? Hanya Aidil Sharin yang mengetahuinya dan semua perlu diselesaikan menjelang sepak mula pra musim pada Disember dan juga pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL), Januari depan.

Masih tiada pengganti tempat Mat Don

Harus diakui, selepas pemergian Liridon Krasniqi, Kedah masih tercari-cari pemain tengah setara atau lebih hebat daripadanya. Tiada lagi pemain tempatan yang mampu mengisi kekosongan yang telah ditinggalkan Mat Don sepanjang ketiadaannya.

Sepanjang empat musim, Liridon Krasniqi membina empayarnya sendiri dan tapak permainannya di zon middle third Kedah. Jangan nafikannya, biarpun pemergiannya diiringi sedikit senario kurang enak, pemain berusia 27 tahun itu telah tinggalkan ruang besar untuk kembali diisi oleh pemain-pemain baharu Helang Merah.

Liridon Sandro

Foto: Muhammad Asyraf Sawal (NST)

Fadzrul Danel mungkin pemain yang akan memecah masuk ke posisi tersebut namun, Aidil Sharin melihatnya sebagai pemain untuk masa depan, bukan pemain yang sudah layak diletakkan dalam kesebelasan utama – sejak pulang daripada Cardiff.

Edgar Bernhardt pula menjalankan tugas dengan baik namun tiada aura kepewiraan yang mampu dijelmakan oleh pemain berusia 33 tahun itu sepanjang diberikan tugasan di tengah. Prestasinya baik namun tiada pakej tambahan untuk menguatkan skuad Kedah.

Penutup

Penulis merasakan jika posisi tengah itu gagal diisi oleh pemain yang memiliki karekter seorang jeneral, Kedah akan kekurangan impak dan ia akan memberi kesan kepada prestasi pasukan.

Bukan menidakkan kemampuan Baddrol Bakhtiar, namun jelas peranan dan karekter kapten Kedah itu adalah lain. Selain itu, prestasinya sangat memuncak dengan assist dan jaringan apabila beraksi di sayap kanan, posisi asalnya berbanding di tengah.

Sebagai penyokong, adakah para pembaca yang berasal daripada Kedah merasakan Aidil Sharin sedang memburu pemain tengah dengan karekter sebegitu? Sila kongsikan bersama kami.

Kredit Featured Image: KEDAH FA