Sebagai persediaan menghadapi Kejohanan AFC B-23, FA Thailand (FAT) dijadualkan akan menganjurkan satu kejohanan yang melibatkan enam pasukan B-23 bermula pada 9 Disember ini, bertempat di Thailand.
Kejohanan yang dinamakan Piala M-150 itu akan disertai oleh Thailand, Vietnam, Myanmar, DPR Korea, Uzbekistan dan juga jaguh Asia, Jepun. Juara akan membawa pulang hadiah berjumlah USD20,000 (RM 81,690).
Enam pasukan ini telah dipecahkan kepada dua kumpulan dengan Thailand, DPR Korea dan Jepun diundi dalam Kumpulan A, sementara Vietnam, Myanmar dan Uzbekistan di dalam Kumpulan B.
Juara kumpulan tersebut akan bertemu di final, sementara naib juara kumpulan akan bertemu untuk penentuan kedudukan ketiga terbaik kejohanan.
Sementara itu, Thailand telah mendapat bantuan ketua jurulatih kebangsaan mereka, Milovan Rajevac untuk bersama-sama ketua jurulatih B-23, Zoran Jankovic memperbaiki taktikal pasukan.
Menurut laporan Bangkok Post, Rajevac dilihat bersama-sama Pengerusi Teknikal FAT, Witthaya Laohakul berada di Kiarti Thanee Country Club, pusat latihan skuad B-23 Thailand.
“Fokus paling utama adalah pertahanan. Seperti di setiap peringkat pasukan Thailand, masalah utama mereka ini (skuad B-23) juga adalah kecenderungan melepaskan banyak gol,” ujar Jankovic.
“Kita dapat lihat bagaimana prestasi skuad kebangsaan Thailand ketika menentang pasukan-pasukan jagoan Asia di dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 yang lalu.
“Kita perlu memperbaiki masalah yang membimbangkan ini. Pertahanan bukan semata-mata tanggungjawab pemain-pemain pertahanan sahaja, kita perlukan sokongan keseluruhan pasukan,” jelas Jankovic lagi.
Menurut Jankovic, dia tidak risau akan jentera serangannya kerana Thailand memiliki penyerang-penyerang yang bagus disamping kebolehan mereka untuk menjaringkan gol menentang mana-mana pasukan.
“Tahap kecergasan dan kebolehan pemain serta taktikal pasukan-pasukan jogaan Asia sangat berbeza dengan pasukan dari rantau Asean. Jadi, kita perlu bersedia untuk cabaran yang lebih sukar,” ulas Jankovic.
Ini adalah peluang buat Thailand untuk menguji dua lagi pasukan yang bakal beraksi bersama mereka di dalam kumpulan yang sama di Kejohanan AFC B-23, Januari nanti.
Thailand telah diundi di dalam Kumpulan B bersama-sama Jepun, DPR Korea dan juga Palestin pada majlis undian yang berlangsung pada Oktober lalu di China.