Terengganu Football Club (TFC) pada hari ini tampil memberi penjelasan mengenai laporan sebuah media tempatan mengenai isu tunggakan bayaran melibatkan bekas pemain.
Melalui siaran media yang dikeluarkan, TFC mengakui terdapat masalah tunggakan melibatkan 12 bekas pemain musim lalu pasukan itu, namun ia bukan berkaitan gaji.
Malah TFC menegaskan gaji pemain-pemain telah dilunaskan sehingga bulan terakhir musim 2019.
Sebaliknya tunggakan yang dimaksudkan adalah bayaran yang dipersetujui diluar kontrak pemain tersebut.
“TFC telah menjelaskan bayaran tersebut hampir 40% – 50% sebagaimana persetujuan dibuat ketika pemain berkhidmat bersama TFC,” jelas kenyataan tersebut.
“Seterusnya baki tersebut dimaklumkan kepada pemain-pemain akan dijelaskan pada November 2019 sebelum tamatnya kontrak pemain-pemain tersebut.”
TFC melalui Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBNST), Mohd Syahrizan bin Mohd Zain turut menjelaskan baki bayaran sepatutnya dijelaskan pada November lalu berikutan komitmen Malaysia Football League (MFL) memaklumkan bahawa baki hak penyiaran dan pendapatan kepada pasukan sebagai rakan kongsi akan dibayar pada November 2019.
Namun demikian, MFL melalui mesyuarat luar biasa pada 14 Disember lalu mengesahkan bayaran tersebut tidak dapat dijelaskan, sekaligus memberikan masalah kepada TFC melunaskan bayaran yang sepatutnya diterima pemain.
PENJELASAN ISU TUNGGAKAN BAYARAN BEKAS PEMAIN TFC 2019
———————————————–
Selesai musim…Posted by Terengganu Football Club on Wednesday, December 18, 2019
“Mengambil inisiatif dan tanggungjawab dengan komitmen yang telah dimaklumkan kepada pemain, TFC telah membuat bayaran terlebih dahulu sebanyak 25% kepada pemain-pemain yang tidak dilanjutkan kontrak melalui dana yang masih ada di dalam akaun TFC,” ujar kenyataan tersebut lagi.
Menurut TFC kegagala MFL melunaskan baki 50% bayaran hak penyiaran adalah di luar jangka pihak pengurusan pasukan itu.
“Agak sukar untuk menerima keputusan tersebut, namun hakikatnya terpaksa kita terima bahawa baki hak penyiaran dan pendapatan tersebut tidak dapat dijelaskan.
“TFC tidak berdiam diri dengan komitmen dan tanggungjawab terhadap bekas pemain pasukan TFC 2019.
“TFC telah memaklumkan keadaan sebenar situasi yang berlaku serta meminta mereka bersabar dan memberi sedikit masa untuk mencari kaedah penyelesaian dengan harapan mereka memahami dan memberikan pertimbangan.
“TFC memberi jaminan bahawa tunggakan bayaran 40%-50% yang berbaki akan diselesaikan dan akan dilunaskan, InsyaAllah,” kata kenyataan itu lagi,” jelas kenyataan tersebut lagi.
Walaupun tetap memberi komitmen untuk menjelaskan baki bayaran tersebut, TFC kesal dengan tindakan sebahagian pemain yang dianggap agresif di dalam situasi ini sehingga mampu memburukkan imej dan nama baik TFC.