“Tewaskan Vietnam, Buktikan Kita Lebih Hebat” – Amanat Presiden FAM Buat Skuad Harimau Malaya

Presiden FAM Malaysia Vietnam

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin mempunyai sasaran yang cukup besar buat skuad kebangsaan yang akan bertanding di kejohanan Piala AFF Suzuki yang akan bermula tidak lama lagi.

Ketika sesi sarapan pagi bersama pemain pada Jumaat, Hamidin berharap skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu mampu mengejutkan Vietnam yang merupakan gergasi baharu bola sepak Asia Tenggara ketika ini.

Harimau Malaya dijadualkan bertemu negara yang berada di ranking ke-99 dunia itu dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan pada 12 Disember dan pastinya ia amat penting bagi memastikan pasukan negara mampu layak peringkat separuh akhir.

Beliau turut optimis pemain-pemain yang disenaraikan kali ini merupakan yang terbaik kerana ia merupakan gabungan pemain muda dan berpengalaman selain dibantu oleh pemain-pemain warisan.

“Pemain-pemain yang ada ini saya anggap mereka sebagai yang terbaik,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Media FAM.

“Menerusi gabungan pemain muda seperti Mukhairi Ajmal, Luqman Hakim dan Arif Aiman; pemain-pemain pada usia pertengahan seperti Safawi Rasid, pemain senior berpengalaman seperti Aidil Zafuan, Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi, pemain warisan seperti Dion Cools, Junior Eldstal dan Quentin Cheng serta pemain naturalisasi, Guilherme de Paula.

“Apabila anda sudah masuk ke dalam pasukan dan menyarung jersi Harimau Malaya, saya mahu semua pemain ini beri segalanya yang terbaik yang mereka ada dan fokus sepanjang kejohanan berlangsung.

“Sudah pasti 20 pemain yang akan berlepas dari Kuala Lumpur ini serta empat pemain dari luar negara yang akan menyertai pasukan di Singapura nanti iaitu Junior Eldstal, Dominic Tan, Luqman Hakim dan Dion Cools saya kira sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab masing-masing dalam membawa nama Malaysia.

“Pentas Asia Tenggara ini sepatutnya tiada masalah buat mereka dan ingin saya tegaskan di sini bahawa yang kali ini, kita mesti mengalahkan Vietnam bagi membuktikan yang Malaysia juga sebenarnya sama kuat dan hebat.”

Leave a Reply