Pengurus skuad kebangsaan Sepanyol, Luis Enrique menegaskan bahawa beliau tidak menerima sekiranya ada sesiapa yang menyalahkan penjaga gol, David De Gea susulan kekalahan 0-1 La Roja di tangan Ukraine pada aksi UEFA Nations League (UNL) 2020, awal pagi tadi.
Jaringan tunggal pemain tengah, Viktor Tsygankov pada minit ke-76 sudah cukup untuk menamatkan rentetan rekod tanpa kalah dalam 15 perlawanan buat Sepanyol tercalar pada aksi yang berlangsung di Stadion NSK Olimpiyskiy, Kiev itu.
Lebih pedih buat Sepanyol, mereka mendominasi permainan dengan cukup baik dan turut memperoleh 21 percubaan berbanding Ukraine yang sekadar melakukan dua percubaan.
De Gea yang bertindak selaku penjaga gol pada perlawanan itu dikatakan sedikit keluar daripada posisinya sehingga membolehkan Tsygankov menjaringkan gol kemenangan sekali gus menghadiahkan mata keenam buat skuad bimbingan Andriy Shevchenko itu.
Sehubungan dengan itu, Enrique tampil mempertahankan penjaga gol berusia 29 tahun tersebut daripada mendapat kritikan yang tidak terkecuali dilontarkan wartawan.
”Kami seharusnya menjadi lebih baik, tetapi menyalahkan De Gea sudah menjadi kebiasaan buruk,” ujar Enrique menurut laporan Goal.
”Jika David dipersalahkan untuk perlawanan seperti ini, tutup peranti anda dan kami akan pergi dari sini [sidang media].”
”Sekiranya anda melakukan serangan bertubi-tubi, anda tahu akan ada transisi dalam permainan. Sekiranya sebuah pasukan bertahan dan mempertahankan kedudukan 0-0, mereka akan terus berkembang dan dalam satu keadaan mereka mampu memanfaatkan peluang.”
”Tiada apa yang berlaku kerana dalam satu atau dua perlawanan anda tidak menjaringkan gol. Kami mencipta peluang untuk ‘membunuh’ mereka. Ini adalah permainan yang jelas di bawah kawalan kami, dengan pasukan lawan mampu menutup garisan hantaran kami.”
”Kami harus mengucapkan tahniah buat mereka,” tambah Enrique lagi.
Kredit featured image: TF-Images/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Luis Enrique: