Masa depan pemain tengah, Mesut Ozil bersama Arsenal kelihatan semakin berada dalam ketidaktentuan apabila beliau telah diketepikan daripada skuad 25 pemain yang bakal menggalas tanggungjawab The Gunners dalam saingan Liga Europa (UEL) 2020/21.
Perkembangan tersebut jelas menyulitkan lagi keadaan buat Ozil apabila pemain yang menerima gaji mingguan tertinggi di Arsenal itu langsung tidak diberikan peluang beraksi sejak aksi bola sepak kembali bersambung susulan wabak COVID-19.
Selain Ozil yang diketepikan Mikel Arteta, pemain pertahanan kelahiran Greece, Sokratis Papastathopoulos turut menerima nasib sama.
Keputusan diambil Arteta itu bagaimanapun bukanlah satu perkara yang mengejutkan kerana Ozil kelihatan seperti tidak dihiraukan pengendali kelahiran Sepanyol tersebut.
Arteta pada ketika ini dilihat lebih gemar untuk menggunakan khidmat Mohamed Elneny, Granit Xhaka dan Dani Ceballos di jentera tengah. Keadaan ini membuatkan kudrat Ozil semakin hampir sudah pun dilupakan Arteta.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Arteta telah memberikan bayangan bahawa skuad yang dimilikinya semakin menunjukkan perkembangan dan mendedahkan hanya akan memilih pemain pada tahap terbaik bagi membarisi pasukannya.
“Skuad ini sedang berkembang baik dan anda dapat lihat tahap yang mereka sedang capai kini. Kami mahu terus berkembang maju dan juga bermain dengan lebih baik, jadi kami perlu kekalkan tahap itu.”
“Saya cuba untuk memilih pemain yang menurut saya, berada pada tahap yang terbaik. Kami memilih pemain yang kami percaya mereka adalah yang terbaik untuk perlawanan tersebut dan seperti yang anda lihat, ia sentiasa berubah.”
Kenyataan ini memberikan gambaran jelas bahawa seperti sudah tiada peluang buat Ozil untuk diberikan peluang berbakti buat kelab yang disertainya sejak 2 September 2013 itu.
Kredit featured image: James Williamson – AMA/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Mesut Ozil: