‘Tertomos’ Di Bumi China, Pemain Naturalisasi Ini Terpaksa Bungkus Balik Brazil

Tiba-tiba sahaja perkataan ‘tertomos’ menjadi popular dan menjadi bualan di media sosial di kalangan pengikut bola sepak tanah air.

Ntah dari mana datangnya perkataan tersebut, kami pun tidak dapat pastikan. Carian kami di internet pula menjelaskan ‘tertomos’ membawa maksud jatuh tersembam dan merupakan loghat dari negeri Pahang. Mungkin anda boleh kongsikan dengan kami secara lebih lanjut asal usul ‘tertomos’.

Perkataan tertomos mulai menjadi tular setelah Facebook Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor yang juga merupakan Presiden Kedah Darul Aman FC (KDA FC), melakukan banter terhadap pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, (TMJ) – yang bermula kerana isu pembayaran gaji pemain-pemain KDA FC.

Istilah ‘tertomos’ yang sebenar

Jika ‘tertomos’ sebagai satu istilah yang membawa maksud jatuh tersembam, maka ia mungkin paling sesuai diguna pakai oleh Ricardo Goulart pada hari ini.

Goulart adalah seorang pemain naturalisasi untuk skuad kebangsaan China. Belum pun sempat beraksi untuk negara angkatnya walaupun dalam satu perlawanan pun, pemain itu kini terpaksa melupakan hasrat tersebut, dan kembali ke negara kelahirannya Brazil.

Menurut akhbar South China Morning Post, Goulart terpaksa pulang ke China kerana terpaksa menunggu sehingga 2025 untuk beraksi bersama skuad kebangsaan China.

Namun situasi semasa tidak memihak pemain itu, dek kerana gaji beliau tidak dibayar oleh pihak kelab, Guangzhou FC sejak September lalu. Situasi kewangan kelab tersebut memaksa kontrak Goulart dibatalkan.

Kisah Ricardo Goulart

Guangzhou FC bukan satu-satunya kelab yang bergelut dengan masalah kewangan di China. Pada hari ini dilaporkan hanya tiga buah kelab sahaja di kalangan 16 kelab yang bertanding mampu membayar penuh gaji pemain.

Kelab-kelab lain pula memiliki hutang dan ada di kalangan kelab-kelab ini berada di ambang muflis. Jika kita ingat beberapa tahun lalu, kelab-kelab Liga Super China (CSL) adalah antara kelab yang berbelanja besar dan rakus.

Mereka sanggup membawa masuk pemain-pemain ternama dunia dan dianggap sebagai ‘lubuk emas’ kerana bayaran tinggi yang dibayar kepada pemain.

Goulart dinaturalisasikan pada 2019, dengan nama cinanya ialah Gao Late. Pada mulanya kebanyakkan media di China bertanggapan Goulart akan melakukan penampilan bersama skuad kebangsaan China sebaiks sahaja beliau mendapat pelepasan dari FIFA.

Semakan kemudian bagaimanapun mendapati Goulart pernah beraksi secara pinjaman bersama Palmeiras pada 2019. Perkara ini menyebabkan beliau tidak memenuhi syarat untuk dinaturalisasikan.

Seperti yang kita semua maklum, FIFA mensyaratkan seseorang pemain wajib beraksi di negara kedua (negara pilihan naturalisasi) selama lima tahun sebelum dibenarkan bertukar pasukan.

Perkara itu menjelaskan mengapa Goulart terpaksa menunggu sehingga 2025 sebelum dibenarkan menyarung jersi China.

Impian yang musnah

Pada 2025, Goulart akan berusia 35 tahun. Ianya bukan masalah jika beliau masih kekal beraksi di China kerana khidmat dan pengalaman beliau secara teknikalnya masih boleh digunakan untuk Piala Dunia 2026 yang akan diadakan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Untuk rekod, Goulart sudah bersama Guangzhou sejak 2015 selepas berhijrah dari Cruzeiro. Beliau membantu kelab China itu muncul juara AFC Champions League pada 2015.

Selain itu, beliau turut membantu Guangzhou menjulang tiga gelaran juara liga dari 2015 sehingga 2018, termasuk Piala FA pada musim pertamanya di CSL.

Selain beraksi sementara bersama Palmeiras, Goulart turut pernah beraksi secara pinjaman bersama Hebei FC pada musim lalu sebelum kembali kepada Guangzhou pada musim ini.

Kini setelah kelab asalnya Guangzhou mengesahkan tidak mampu untuk melunaskan hutang dan gajinya, Goulart tidak punyai pilihan lain selain pulang ke Brazil selepas kontraknya ditamatkan.

Ricardo Goulart adalah contoh pemain yang tertomos kerana gaji. Liga Super China juga adalah contoh liga yang tertomos kerana isu yang sama.

Terma ‘tertomos’ mungkin kelakar dan mengusik hati apabila digunakan untuk jenaka. Tetapi jika isunya adalah berkenaan gaji pemain, ia mampu memberikan kemudaratan yang akan semua pihak kesali suatu hari nanti.

Leave a Reply