Kegagalan skuad The Red Warriors mara ke suku akhir dalam saingan Shopee Piala FA 2018 selepas tumbang 1-4 ditangan PKNS FC pada aksi pusingan ketiga di Stadium Shah Alam, kelmarin mengundang rasa kecewa dalam kalangan penyokong Kelantan itu.
Pemangku jurulatih skuad itu, Yusri Che Lah bertanggungjawab terhadap kekalahan itu dan beliau memohon maaf secara terbuka selepas segala perancangan yang dilakukan gagal membuahkan hasil.
“Saya tidak dapat lari daripada mengambil tanggungjawab di atas kekalahan ini dan sekali lagi saya memohon maaf kepada semua penyokong Kelantan diatas kekalahan itu.
“Apabila kita melepaskan dua gol dalam separuh masa pertama, kita terpaksa memperjudikan nasib pada babak berikutnya untuk sekurang-kurangnya mencari gol semangat pada awal permainan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada perlawanan tersebut, PKNS FC mudah meledak empat jaringan masing-masing menerusi sepakan penalti Romel Ramirez (minit ke-16); Mahali Jasuli (minit ke-43); Mohd. Safee Sali (minit ke-60) dan Rafael Ramazotti (minit ke-67) sebelum Mohammed Ghaddar menghadiahkan jaringan saguhati The Red Warriors (TRW) pada minit-minit akhir.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata khidmat Yusri Che Lah selaku pengendali sementara masih dikekalkan sehingga penghujung musim ini walaupun Kelantan tersingkir daripada saingan Piala FA.
Bibi Ramjani turut mendedahkan KAFA akan membuat rombakan besar-besaran pemain import pada jendela perpindahan kedua nanti.
“Sebenarnya prestasi mana-mana pasukan pun tidak stabil sebenarnya dengan pemain import ini, jadi kalau permainan pasukan kita masih di takuk lama, saya rasa satu perubahan besar-besaran perlu dilakukan untuk memperbaiki prestasi pasukan ini,” jelasnya.
Sementara itu, pengendali PKNS FC, Datuk K.Rajagopal menuntut pemain skuad ‘Semut Merah’ supaya mengekalkan prestasi cemerlang mereka dalam saingan Piala FA.
“Meskipun kami menang selesa ke atas Kelantan pada malam ini, namun ia bukan memberi pemain kedudukan yang selesa kerana kami perlu bersedia untuk peringkat yang seterusnya,” katanya.