Bercakap kepada Semuanya BOLA menerusi panggilan telefon, Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Dr. Amar Pritpal Abdullah mengesahkan mendapat 7 permohon untuk mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih skuad Liga Premier itu.
Baru-baru ini, pengendali Pulau Pinang, Ahmad Yusoff telah menjadi jurulatih ketiga daripada saingan Liga Premier yang direhatkan susulan prestasi hambar pasukan di awal musim 2019.
Ahmad Yusoff dilihat gagal mencapai prestasi yang diharapkan oleh pihak pengurusan pasukan. Selepas lima perlawanan, mereka hanya meraih 4 mata hasil daripada satu kemenangan dan satu keputusan seri untuk menghuni kedudukan ke-9 dalam carta liga.
Selepas ketiadaan Ahmad Yusoff, Pulau Pinang akhirnya kembali menemui sentuhan kemenangan apabila berjaya menewaskan Selangor United 2-1 di Stadium Bandaraya.
Ketika ini, terdapat khabar angin mengenai pengendali baharu yang bakal dilantik ke jawatan tersebut antaranya bekas lagenda Harimau Kumbang, Merzagua Abderrazak.
Merzagua juga kebetulannya ketika ini berada di Pulau Mutiara atas urusan lain dan ini telah menjadikan topik ini semakin hangat diperkatakan di kalangan penyokong.
Selain itu terdapat juga perkhabaran mengenai tindakan pihak FAP menghubungi pemain-pemain yang pernah bersama Pulau Pinang sebelum ini untuk hadir berlatih bersama pasukan.
Ianya seolah-olah untuk menguji dan menyediakan pasukan sempena pelantikan ketua jurulatih yang baharu walaupun jendela perpindahan untuk pemain baharu belum dibuka.
Susulan itu, Semuanya BOLA telah menghubungi Pengurus pasukan, Ong Eng Hua dan Presiden, Dr. Amar Pritpal Abdullah untuk mengetahui perkembangan terkini pasukan.
Ong menjelaskan belum ada kata putus mengenainya kerana Ahli Jawatankuasa belum bermesyuarat dan sebarang keputusan mengenai pengendali baharu akan diumumkan selepas itu.
“Semua keputusan adalah daripada Jawatankuasa tersebut. Kita ada Jawatankuasa untuk membincang perkara ini yang diwakili oleh pelbagai pihak termasuklah bahagian teknikal pasukan.
“Sepertimana keputusan merehatkan Ahmad Yusoff, ia adalah daripada Jawatankuasa tersebut. Bukan daripada individu tertentu,” jelas Ong lagi berhubung perkara ini.
Semuanya BOLA turut memohon pengesahan mengenai kebersediaan FAP untuk mengambil semula bekas pengendali Pulau Pinang pada musim 2013, Merzagua.
“Kita terbuka untuk terima mana-mana pihak yang berminat. Ketika ini terdapat beberapa permohonan untuk jawatan tersebut namun saya tidak dapat dedahkan,” ujar Ong.
Di bawah kendalian Merzagua, Pulau Pinang telah beraksi dengan sangat baik malah berjaya menjuarai saingan Piala FAM seterusnya layak untuk beraksi di Liga Premier 2014.
Namun, atas masalah lesen kejurulatih, dia akhirnya terpaksa pulang ke negaranya, Maghribi untuk mendapatkan lesen sijil ‘A’ dan tempatnya diambil alih oleh K. Devan.
Semuanya BOLA kemudiannya menghubungi Presiden FAP, Dr. Amar Pritpal Abdullah untuk mengetahui lebih lanjut mengenai calon pengganti kepada Ahmad Yusoff.
“Belum ada keputusan lagi. Setakat ini terdapat 5 jurulatih luar dan 2 jurulatih tempatan yang berminat dan memohon untuk mengisi jawatan tersebut. Tiada nama Merzagua.
“2 atau 3 hari lagi pihak kita akan umumkan. Pasukan kita sedang berehat 5 hari ketika ini,” tambahnya lagi sebelum menutup bicara.
Turut dikhabarkan berada dalam radar FAP adalah bekas pengendali skuad Piala Presiden Pulau Pinang 2018 dan ketua jurulatih Perlis pada awal musim, Manzoor Azwira Abd Wahid.