TERKINI: Kelantan Dipotong Tiga Mata Kerana Gagal Patuh Arahan FIFA

Malang menimpa pasukan Kelantan hari ini apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pemotongan tiga mata untuk pasukan tersebut dalam saingan Liga Premier 2019.

Menurut kenyataan daripada FAM, tindakan itu adalah hukuman daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) gagal mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA bagi menjelaskan tuntutan rasmi daripada bekas Pengarah Teknikal KAFA, Alfredo Carlos Gonzalez.

Berikut adalah kronologi kes berdasarkan tarikh:

* Ia bermula pada 19 Januari 2018 apabila FAM menerima surat daripada FIFA berkenaan aduan Gonzalez terhadap KAFA berkaitan pelanggaran kontrak

* Pada 20 Februari 2018, FIFA telah menghantar surat tuntutan rasmi daripada Gonzalez dan KAFA diberi masa sehingga 12 Mac 2018 untuk memberikan maklumbalas, namun KAFA gagal berbuat demikian.

* Ia sekali gus memaksa Kamar Penyelesaian Pertelingkahan Kebangsaan (NDRC) FIFA menjatuhkan hukuman kepada KAFA dan keputusan kes berkenaan telah dihantar pada 19 Jun 2018 dengan KAFA diminta membayar gaji tertunggak, pampasan kontrak dan kos prosiding.

* Pada 19 Ogos 2018, KAFA telah menghantar surat kepada FIFA untuk memohon penangguhan pembayaran sehingga siasatan berkenaan sijil kejurulatihan Gonzalez selesai.

* Namun pada 16 Oktober 2018, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah menghantar surat kepada FAM dan KAFA bagi memaklumkan bahawa sijil kejurulatihan yang dimiliki Gonzalez itu adalah sah dan tulen.

* Susulan itu, FIFA pada 22 Oktober 2018 telah memaklumkan bahawa kes ini akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FIFA untuk tindakan selanjutnya.

* Pada 18 Februari 2019, KAFA telah memaklumkan kepada FIFA berkenaan perubahan pentadbiran pasukan Kelantan yang akan diambil alih oleh Kelantan Red Warriors Sdn Bhd (KRW), sekali gus segala hutang tertunggak KAFA akan diambil alih oleh KRW.

* Namun pada 6 Mac 2019, FIFA telah menghantar keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mana KAFA diarahkan untuk membayar tuntutan daripada Gonzalez, denda FIFA dan kos prosiding yang keseluruhannya berjumlah kira-kira RM235,686 dalam tempoh 30 hari.

* Jika gagal, KAFA akan dipotong tiga mata dalam saingan liga domestik untuk pasukan utamanya iaitu pasukan Kelantan yang kini beraksi dalam Liga Premier 2019.

* Bagi memastikan KAFA tidak dikenakan hukuman, FAM telah menghantar surat pertanyaan status pembayaran dan peringatan kepada KAFA pada 2 April 2019 supaya bayaran tersebut perlu diselesaikan selewat-lewatnya pada 4 April 2019.

* Pada 3 April 2019, KAFA telah memaklumkan bahawa mereka tidak dapat meneruskan pembayaran tersebut berikutan berlakunya masalah dalaman antara KAFA dan KRW. KAFA memohon lanjutan masa selama 30 hari kepada FIFA dengan alasan segala tunggakan hutang akan kembali diambil alih oleh KAFA.

* Akhirnya pada 10 April 2019, FAM telah menerima surat arahan daripada FIFA supaya pemotongan tiga mata itu dibuat dengan kadar segera dan kegagalan FAM untuk berbuat demikian akan menyebabkan tindakan tatatertib dikenakan pula terhadap FAM termasuk larangan menyertai semua kejohanan anjuran FIFA.

Justeru, FAM hari ini telah memajukan surat arahan daripada FIFA itu kepada Malaysian Football League (MFL) untuk badan pengendali Liga Malaysia itu mengeluarkan surat rasmi pemotongan tiga mata kepada pasukan Kelantan dalam saingan Liga Premier 2019.

“Dengan apa yang berlaku ini, FAM ingin mengingatkan serta menasihati ahli-ahli gabungan yang lain supaya tidak mengambil mudah arahan berkaitan hukuman yang telah dijatuhkan oleh FIFA atau AFC kerana kesan dan akibatnya nanti akan terpaksa ditanggung oleh pasukan masing-masing.

“Biarpun KAFA telah dikenakan pemotongan tiga mata, mereka bagaimanapun tetap perlu untuk melunaskan juga bayaran seperti dinyatakan itu bagi mengelak dikenakan hukuman atau tindakan lanjut lain yang lebih berat daripada FIFA selepas ini,” kata kenyataan daripada Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN