Skuad muda Indonesia disahkan menarik diri pada saat-saat akhir daripada menyertai kejohanan Piala AFF B-23 yang bakal berlangsung di Kemboja pada 14 hingga 26 Februari ini.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), ia disebabkan dua faktor utama iaitu jangkitan Covid-19 dan kecederaan pemain yang melumpuhkan skuad kendalian Shin Tae-yong tersebut.
#Breaking | 🇮🇩 INDONESIA WITHDRAWS FROM AFF U23 CHAMPIONSHIP 2022
The Football Association of Indonesia (PSSI) has announced the withdrawal of the Indonesian U23 team from AFF U23 Championship 2022 due to Covid and injury. pic.twitter.com/HZlncOos20
— ASEAN FOOTBALL (@theaseanball) February 11, 2022
Selepas melakukan ujian calitan sebelum berlepas, terdapat tujuh pemain dan seorang yang disahkan positif.
Tujuh pemain tersebut adalah Ronaldo Joybera R Junior, Muhammad Ferrari, Braif Fatari, Taufik Hidayat, Irfan Jauhari, Ahmad Figo Ramadhani, dan Cahya Supriyadi.
Empat pemain pula walaupun didapati negatif, tetapi perlu dikuarantin kerana sebilik dengan mereka yang positif iaitu Alfeandra Dewangga, Genta Alparedo, Muhammad Kanu Helmiawan, dan Marcelino Ferdinan.
Selain itu terdapat tiga pemain yang mengalami kecederaan ketika tugasan bersama kelab masing-masing dalam saingan Liga 1 Indonesia iaitu Gunansar Mandowen, Ramai Rumakiek, dan Muhammad Iqbal.
Keadaan tersebut memaksa Shin Tae-yong mengusulkan kepada PSSI untuk membatalkan penyertaan Indonesia di kejohanan yang akan berlangsung di Phnom Penh itu dan ia diterima olah badan induk berkenaan.
“Dengan sangat kesal, kami harus membatalkan penyertaan Indonesia di Piala AFF B-23 kerana alasan di atas,” ujar Setiausaha Agung PSSI, Yunus Nusi dalam laman web rasminya.
“Kami meminta maaf kepada semua pihak kerana situasi ini di luar kawalan kami. Saat ini kami fokus untuk penyembuhan pemain yang dijangkiti Covid-19 dan yang mengalami kecederaan.”