Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman telah diangkat sebagai pemenang gelaran pemain terbaik bulanan (POTM) Liga Super yang pertama untuk musim 2023.
Dipertandingkan untuk bulan Februari dan Mac, anugerah yang dianjurkan oleh PFA Malaysia (PFAM) ini menyaksikan Arif menewaskan empat lagi calon untuk memastikan dirinya kembali meraih gelaran tersebut yang kali terakhir dimenangi pada 2021.
Arif menewaskan pemain-pemain seperti Ramadhan Hamid (PDRM), Faisal Halim (Selangor), Park Tae-su (Sabah) serta rakan sepasukan iaitu Fernando Forestieri.
Persembahan cemerlang yang dihasilkan oleh Arif jelas sekali sukar untuk diabaikan. Sepanjang Februari dan Mac, pemain kebangsaan ini telah menjaringkan empat gol serta melakukan tiga bantuan jaringan untuk memastikan JDT memperoleh rekod 100% kemenangan dalam Liga Super.
Malah, Arif juga adalah satu-satunya nama pemain tempatan yang sehingga kini melekat dalam carta penjaring terbanyak Liga Super setakat ini dan bersaing rapat dengan pemain-pemain seperti Forestieri dan penyerang Selangor – Ayron del Valle.
Sekalung tahniah diucapkan kepada Arif Aiman di atas kejayaan ini!