Adakah Ayron del Valle Semakin Buktikan Dirinya Bukan “Import Scam”?

Ayron del Valle

Kehadiran pemain import Selangor, Ayron del Valle adalah dengan satu reputasi yang cukup besar.

Bukan setakat perlu membuktikan yang dirinya lebih baik berbanding Herlison Caion, tetapi Ayron juga mesti menepati jangkaan sebagai penghuni kedudukan tiga terbaik penjaring terbanyak Liga Colombia sebelum tiba di Malaysia.

Permulaan yang perlahan jelas sekali tidak membantu Ayron, dengan liga yang tidak panjang berbanding saingan 20 pasukan yang ada 38 aksi, penyokong Selangor jelas mahukan penyerang ini cepat panas dan merobek gawang lawan saban minggu.

Ayron bukanlah jenis penyerang yang akan sentiasa berlari mengejar bola, pergerakan beliau yang terhad hanyalah penambah rasa kepada kegeraman penyokong Selangor apabila melihat pemain itu melepaskan satu demi satu peluang untuk menjaringkan gol.

Kemuncaknya kemarahan adalah apabila Ayron gagal menghadirkan bahaya ketika Selangor bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Impak yang dihasilkan Ayron terlalu sedikit hinggakan apa yang penyokong ingat adalah cubaan beliau secara tiba-tiba dan tidak kena melakukan step over. Lebih memalukan, usai melakukan gerakan itu bola pun hilang daripada penguasaan beliau.

Kemarahan penyokong Selangor terhadap Ayron begitu membara, malah penulis sendiri tidak berpuas hati dengan persembahannya. Di media sosial, tanpa perlu menyebut nama, pemain ini dirujuk sebagai “#70” dan kecaman hebat diberikan.

Bukanlah mengecam kerana membenci tanpa sebab, tetapi saban musim Selangor seolah-olah menjadi mangsa penipuan atau scam apabila melibatkan pemain import.

Dari segi rekod, tampak hebat, pernah bermain di Eropah atau liga-liga yang jauh lebih elok berbanding Liga Super. Namun apabila menyarung jersi Selangor, semuanya tidak kena.

Ada penyokong Selangor yang berasakan Ayron ini jatuh dalam golongan “import scam“. Tetapi adakah ianya benar?

Sedikit demi sedikit, Ayron membuktikan yang dirinya sememangnya penyerang berbisa. Sehingga bertemu JDT, beliau hanya menjaringkan dua gol sahaja dalam lima aksi liga iaitu ketika berdepan Kuching City dan Penang – semuanya di laman lawan.

Sejak persembahan teruk berdepan JDT, Ayron memulakan kebangkitan dengan mencatatkan dua gol ketika bertemu Kuala Lumpur City.

Persembahan itu membolehkan Ayron mendapatkan gelaran pemain terbaik perlawanan buat pertama kali di Malaysia.

Jumlah jaringan Ayron bertambah selepas merobek pintu gol Kelantan sebelum semalam pemain ini mencatatkan dua jaringan ketika memalukan Terengganu di Stadium MBPJ sekali gus memperoleh gelaran pemain terbaik perlawanan untuk kali kedua musim ini.

Ia menjadikan Ayron kini sudah menghasilkan tujuh gol dalam sembilan aksi liga dan membolehkan namanya berada dalam kedudukan atasan penjaring terbanyak Liga Super.

Dari segi prestasi untuk menjaringkan gol, Ayron sedikit demi sedikit mempamerkan peningkatan dan mula memenangi semula hati penyokong Selangor.

Penyudahnya mula semakin tajam, mungkin kritikan yang masih membelenggu adalah dari segi tahap kerjanya (work rate) yang masih lagi rendah.

Namun begitu, adakah Ayron akhirnya berjaya keluar daripada sentimen “import scam”? Atau beliau perlukan membuktikan lebih lagi sebelum benar-benar diterima oleh penyokong Selangor?

Momentum sudah ada, tinggal jalan terus saja dan buktikan kehebatan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN