Terjahan Keras Phil Neville Yang Sekat Azrul Amri Burhan Berkelana Ke Perancis

Azrul Amri Burhan Perak Malaysia

Apabila bercerita tentang Perak FC yang bermasalah ketika ulangtahun ke-100 mereka saat ini, penulis teringat tentang kisah salah seorang lagenda Perak, Azrul Amri Burhan.

Siapa yang sezaman dan membesar bersama pemain lagenda, Azrul Amri Burhan, pastinya sangat mengenali pemain paling istimewa di zaman remajanya itu.

Pemain yang dikatakan paling berbakat dan memiliki skil luar biasa di era tersebut itu pernah dirisik dan hampir dilamar kelab yang bersaing di Ligue 1, Montpellier HSC.

Namun, disebabkan kecederaan berpunca daripada bentesan salah seorang ‘Fergie’s Fledglings‘, Phil Neville, impiannya dan hasrat rakyat Malaysia terus berkubur.

Ketika itu Malaysia turun menentang England dalam aksi kedua dalam kejohanan ‘Espoir D Toulon’ edisi 1995 yang dilangsungkan di Toulon, Perancis. Ia sebuah kejohanan jemputan yang melibatkan skuad B-21 negara-negara terlibat.

Selain Phil Neville, England ketika itu turut diwakili lagenda Manchester United, David Beckham yang tentunya masih belum dikenali ramai dek kerana di kejohanan inilah penampilan antarabangsanya yang pertama bersama skuad muda The Three Lions.

Dan ketika pertembungan yang menyaksikan Malaysia tumpas 0-2 itulah, Azrul Amri Burhan ditimpa kecelakaan apabila terjahan keras Phil Neville menyebabkan kariernya yang baru hendak membugar di usia 20 tahun itu akhirnya berkecai dan musnah.

“Dia [Azrul] ‘kangkangkan’ Beckham. Agak-agak macam mana dia punya teknik, mesti baik. Lepas itu yang dia tu [Phil Neville] geram tu. Dia ‘parap’ [terjah] Bob,” ujar Azman Adnan, rakan karib Azrul yang mesra dipanggil Bob oleh rakan-rakan sepasukan.

“Lepas dia ‘parap’ tu yang saya dengar Bob kena ACL. Dia baru hendak meningkat naik. Kejadian itu saya rasa telah membataskan kariernya,” tambah Azman Adnan yang dipetik berkata dalam rancangan YouTube, The Azman Adnan, sekitar Mac lalu.

Bekas wartawan Berita Harian ketika itu, Rizal Hashim antara yang berpeluang melihat bagaimana Azrul membuli pemain-pemain England sehingga menjadi sasaran terjahan keras. Permainan yang kemas dan kreatif ditampilkan Azrul telah ‘menekan’ England.

Menurut Rizal Hashim dalam penulisan di blognya, Azrul umpama penterjemah taktikal pengendali skuad muda ketika itu, Claude le Roy. Permainannya yang tidak takut dan kemas itu telah menarik perhatian pemerhati daripada sebuah kelab di sana.

Selepas tewas 0-3 kepada Angola dalam aksi pertama, kelibat seorang lelaki berkulit hitam yang berpakaian kemas dilihat menghampiri Claude le Roy di tepi padang.

“Mereka berbual dan berbincang hampir 20 minit. Rupa-rupanya perbualan itu berkisar di sekitar ketrampilan perancang utama skuad Olimpik Malaysia, Azrul Amri Borhan.

“Sekalipun gagal membantu Malaysia menundukkan Angola, Azrul dianggap memiliki skil dan pemahaman taktikal serta pembacaan permainan yang boleh digilap untuk menghiasi Liga Perancis,” titip Rizal Hashim mengenai kenangan ketika itu.

Montpellier risik Azrul
FOTO: RIZAL HASHIM

Siapakah lelaki tersebut dan apa isi perbincangan lain mereka? Menurut Rizal Hashim, “Lelaki itu ialah jurulatih pasukan simpanan Montpellier Herault, Maman Ouettara, yang meninjau bakat baru di kalangan lapan negara di kejohanan remaja ini.”

Dan menurut perkongsian Azrul dalam rancangan The Azman Adnan, sepatutnya, selepas habis kejohanan itu, jika beliau berminat dan mendapat pelepasan Kuala Lumpur, beliau harus menyertai sesi pemilihan yang diadakan di kelab tersebut.

Namun, kecederaan ACL yang berpunca daripada Phil Neville itu menamatkan terus usaha tersebut dan beliau kembali ke Kuala Lumpur meneruskan kariernya di Malaysia.

Di Lapangan Terbang Charles de Gaulle Azrul Amri Burhan Rizal Hashim
FOTO: RIZAL HASHIM

Beliau terus beraksi bersama Kuala Lumpur sehingga pada tahun 1997, pengurus Perak, Allahyarham Dato’ Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berjaya memancingnya menyertai The Bos Gaurus dan dari situlah, beliau akhirnya menjadi lagenda Perak.

Setahun sebelum itu, selepas Azrul pulih daripada kecederaan, Kuala Lumpur telah kehilangan ramai tonggak pasukan yang berhijrah ke Perak antaranya T. Gopinath Naidu, Liew Kim Tu, Serbageth Singh dan pertahanan skuad kebangsaan, Ghani Malek.

Juara Piala FA dua tahun berturut-turut pada musim 1993 dan 1994 itu telah melalui beberapa musim yang malap selepas kehilangan pemain-pemain utama mereka dan mereka juga telah meletakkan tanda harga RM2 juta buat Azrul pada musim 1996.

Ia dilakukan agar Azrul tidak mengambil langkah yang sama seperti bekas-bekas rakan sepasukannya yang terpesona dengan tarikan dan pengaruh Raja Ahmad Zainuddin.

Walaupun teknik dan gaya permainannya sudah tidak sepertimana ketika di zaman remajanya, beliau masih mampu beraksi baik dan dikenang sebagai lagenda Perak. Ini kerana beliau seorang arkitek pasukan yang boleh cipta gerakan dan jaring gol.

Menurut bekas pertahanan skuad negara, Norhafiz Zamani Misbah, “Azrul adalah salah seorang pemain yang mempunyai keupayaan teknikal begitu mengagumkan, di mana salah seorang pemain tengah paling kreatif sewaktu di puncak kariernya.”

“Ketepatan hantaran jauh serta pendek Azrul begitu tinggi dan jarang sekali dia gagal melakukan hantaran yang tidak tepat kepada rakan sepasukan,” jelas Norhafiz Zamani.

Ini adalah sebahagian kisah Azrul Amri Burhan yang mana ‘auranya’ sedikit terjejas dek kerana terjahan keras Phil Neville. Jika tidak, mungkin beliau sudah berkarier di luar negara dan menjadi perhatian sebagaimana yang dilalui Luqman Hakim saat ini.

Begitupun, beliau masih mampu bermain dengan baik di Liga Malaysia. Sayang sekali kita tidak dapat menyaksikan koleksi rakaman gelecekkannya, larian derasnya, kemampuannya merencana dan mengubah rentak perlawanan serta sebagainya.

Seperti kata Azman Adnan yang mengenalinya sejak kecil, “Saya memang tahu, dia [Azrul] ni memang ‘gifted’ dari segi teknik dan skilnya. Dengan umur yang macam tu, nampak dia ni berbeza dengan pemain lain. Jadi, saya tak terkejut, Montpellier nak dia.”

“Seperti yang saya katakan, kecederaan menghalang dia bermain di sana,” tambah Azman Adnan yang juga merupakan rakan sepasukan ketika awal karier mereka.

Banyak lagi kisah dalam karier bola sepaknya seperti bagaimana perjanjian belakang pintu yang membawa kepada perpindahannya ke TNB Kelantan, tetapi dikatakan ada kisah lain disebaliknya yang masih belum didedahkan di mana-mana portal.

Namun, cukuplah sekadar kisah ini kerana ini adalah kisah bagaimana terjahan Phil Neville mengubah perjalanan karier Azrul Amri Burhan yang belum sempat membugar.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN