Sebahagian besar peminat bola sepak tanah air sudah pasti mengetahui tentang kewujudan Tifo Arena yang bekerja keras menghasilkan video terbaik dalam usaha memeriahkan bola sepak tempatan.
Terkenal dengan hashtag #akuturunstadium, Tifo Arena telah meneroka hampir semua stadium di seluruh Malaysia dengan cara tersendiri bertujuan untuk menyalakan api semangat para peminat untuk turun ke stadium bagi menyokong pasukan kesayangan mereka.
Dengan Remy dan Amar memainkan watak utama, Tifo Arena dilihat mudah untuk memenangi hati para peminat walau di mana-mana stadium mereka berada.
Namun, video berdurasi 24 minit 24 saat dimuat naik malam tadi telah memberikan gambaran jelas bahawa pengembaraan Tifo Arena bermula 17 Oktober 2015 itu sudah menemui penghujungnya.
Video tersebut juga memaparkan perkongsian Remy dan Amar yang menyoroti kenangan manis sepanjang Tifo Arena mendekati ‘jiwa’ para peminat bola sepak tanah air.
Kedua-dua mereka juga tidak menjelaskan sebab yang mendorong keputusan ini diambil tetapi sebaliknya mengganggap Tifo Arena telah melakukan apa yang termampu.
Harapan Semuanya BOLA
Besar harapan Semuanya BOLA untuk melihat Tifo Arena kembali mewarnai bola sepak tempatan pada masa hadapan.
Terima kasih atas usaha hebat kalian dan semoga bertemu lagi di lain waktu, Tifo Arena!
Kredit foto: Tifo Arena