Persiapan Terengganu untuk saingan musim 2023 kini nampak serba berjalan lancar, menerusi kehadiran muka-muka baharu hasil rombakan telah dibuat.
Ketika ini, pasukan yang dikendalikan oleh Tomislav Steinbruckner itu sudah pun mengesahkan pemain import mereka untuk musim ini dengan beberapa muka baharu telah diperkenalkan.
🏳️🏴NEW HEADCOACH IN THE HOUSE 🗣️🏳️🏴
NEW FACES 🤝 OLD FACES
The first training session under Tomislav.Together we bleed black and white ⚪️⚫️ pic.twitter.com/an3trU1o5Q
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) January 4, 2023
Untuk aksi pra-musim kali ini, dilaporkan Terengganu telah memilih Thailand sebagai destinasi mereka untuk menguji kekuatan semasa sebelum saingan bermula.
Jelas Tomislav, aksi pra-musim ini dianggap sangat penting buat dirinya dalam mengendalikan pasukan, kerana untuk mengetahui kekuatan serta kelemahan semasa Terengganu.
Menjelang aksi pembukaan saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada penghujung Februari ini, ianya dilihat sebagai suatu langkah terbaik buat diri mereka mendapatkan beberapa perlawanan ujian sebagai pemanas badan.
Selain itu, Tomislav juga menjelaskan beliau amat mementingkan aspek persefahaman sesama pemain kerana memahami ramai muka baharu menyertai Terengganu kali ini.
Tambahan pula, sesetengah pemain import Terengganu musim ini buat pertama kalinya menyertai pasukan tersebut serta beraksi dalam saingan Liga-M.
“Kami merancang untuk ‘berkampung’ di Thailand dalam aksi persahabatan selama seminggu bermula 7 Februari depan membabitkan empat perlawanan termasuk menentang kelab Liga Divisyen Satu Thailand, Chonburi FC.
“Bagaimanapun sebelum bertandang ke negara Gajah Perang itu, kami sudah mengatur beberapa perlawanan persahabatan tempatan termasuk berdepan Kelantan United FC (KUFC) pada 21 Januari dan ke Lembah Klang pada hujung bulan ini menentang pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Negeri Sembilan FC (NSFC) dan pasukan KL City FC Bawah 23 Tahun (B-23).
“Kita juga akan atur aksi persahabatan di tempat sendiri bagi memastikan terutama pemain import yang baharu dapat membiasakan diri dengan keadaan padang dan suasana di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
“Pada aksi persahabatan itu nanti, saya mahu melihat dan menilai kemampuan dan prestasi setiap pemain, begitu juga dalam aspek kelemahan dan kekuatan pasukan serta keserasian mereka bersama adunan pemain baharu dan sedia ada.
“Jadi sebelum liga bermula, kami akan memilih sekurang-kurangnya 23 pemain terbaik untuk bersama pasukan mengharungi kancah Liga M dan juga Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia),” katanya menerusi Arena Metro.
Dalam usaha untuk tampil dengan lebih baik pada musim ini, Terengganu telah pun menyenaraikan lima khidmat import baharu mereka iaitu Ivan Mamut, Damagoj Pusic, Sony Norde, Adisak Kraisorn, serta Surdor Kulmatov.
Selamat Datang Ivan Mamut! 🏴🏳️#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/SOHn5u56Um
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) January 4, 2023
Pada masa sama, mereka juga telah mengekalkan empat pemain import musim lalu iaitu Habib Haroon, Argzim Redzovic, Jordan Mintah, serta Luke Woodland.