Terengganu nampaknya masih lagi belum mahu mengalah untuk terus merebut kedudukan tiga terbaik Liga Super musim 2024/2025, walaupun ianya dianggap semakin sukar kini buat pasukan itu menggapainya.
Apa tidaknya, Sang Penyu sebelum itu terlepas peluang untuk mengekori rapat Sabah yang berada di tangga ketiga, selepas mereka hanya mampu merekodkan seri sahaja pada aksi lalu.
Tatkala Terengganu dilihat pada awalnya berpeluang untuk mengintai peluang tiga terbaik saingan Liga Super, situasi kini menyaksikan ianya semakin sukar buat mereka menerusi perbezaan mata.
Namun, itu tidak bermakna harapan tersebut terus padam buat skuad kendalian Badrul Afzan Razali dengan Sang Penyu kini memasang tekad untuk meraih semua kemenangan pada baki aksi perlawanan akan datang.
Berbaki tiga lagi perlawanan, Terengganu bakal menghadapi Selangor, PDRM, serta menentang Kedah Darul Aman (Kedah) pada perlawanan terakhir mereka di pentas Liga Super.
Kedudukan pasukan Terengganu FC dalam carta #LigaSuperMalaysia2024 selepas perlawanan ke-21.#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/9Muyj1qHul
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) March 8, 2025
Melihat kepada baki aksi itu, Terengganu dilihat mungkin berdepan cabaran untuk meraih semua kemenangan, terutama membabitkan aksi mereka menentang Selangor.
Walaupun begitu, Akram Mahinan selaku tonggak senior Sang Penyu mengakui perjalanan pasukan tersebut masih belum berakhir walaupun ia tampil dengan sangat berliku.
“Impian kami sudah tentu mahu melakar kemenangan dalam tiga aksi terakhir bagi mengintai peluang menamatkan saingan liga di tempat ketiga biarpun laluan semakin berliku.
“Saya harap rakan sepasukan dapat memperagakan aksi yang positif biarpun hanya satu perlawanan sahaja beraksi di tempat sendiri berdepan KDA FC pada aksi terakhir liga.
“Bermula dengan pertemuan dengan Selangor FC nanti, saya harap kami mampu mengutip tiga mata penuh biarpun beraksi di depan ribuan penyokong lawan.
“Namun jika tewas peluang boleh dikatakan sudah tertutup jika Sabah FC mengutip tiga mata lagi kerana terkini perbezaan empat mata dengan pasukan The Rhinos itu, jadi kami perlu fokus dan tidak keciciran mata,” katanya menerusi Harian Metro.
Ketika ini kedudukan semasa menyaksikan Terengganu berada di tangga keempat dengan dibezakan empat mata berbanding Sabah dan ia merupakan cabaran besar kepada Sang Penyu untuk mengatasi The Rhinos.
Aksi seterusnya menyaksikan Sang Penyu bakal menghadapi Selangor pada 5 April dan itu merupakan cabaran paling getir perlu diatasi oleh mereka sebelum persaingan tamat.