Prestasi skuad Terengganu FC ketika ini berada di tahap terbaik apabila mencatat 3 kemenangan berturut-turut sehingga melonjakkan kedudukan pasukan itu berada dalam kelompok 5 pasukan teratas Liga Super.
Namun begitu, pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim enggan mendabik dada dan berpendapat anak buahnya perlu berusaha keras bagi memastikan rentak kemenangan dapat diteruskan.
Beliau berkata demikian kepada Berita Harian mengulas mengenai cabaran menentang Kuala Lumpur (KL) di Stadium Bolasepak Kuala Kumpur, Sabtu ini.
“Berdasarkan rekod, skuad KL pernah menundukkan Johor Darul Ta’zim, 1-0 dalam saingan liga pada Februari lalu di gelanggang mereka.
“Tidak mustahil skuad itu mampu mengulangi pencapaian sama Sabtu ini jika kami tidak bersedia dalam semua aspek termasuk fizikal dan mental.
“Apatah lagi mereka pasti mahu bangkit daripada kekalahan besar itu.
“Oleh sebab itu, saya ingatkan pemain lupakan episod kekalahan skuad itu kepada Pahang tempoh hari kerana perlawanan pastinya berbeza.
“Sebaliknya pemain perlu mempamerkan aksi sebenar selain tidak memandang mudah keupayaan lawan dalam misi untuk meneruskan momentum kemenangan,” katanya.
Selain itu, beliau menuntut pemainnya memanfaatkan peluang berehat dengan sebaik mungkin dan menjaga pemakanan pada bulan Ramadan ini.
“Ketika beraksi menentang Melaka United Sabtu lalu pemain jelas keletihan kerana tidak cukup rehat selepas bertemu Perak. Namun dengan rehat yang mencukupi ini saya mengharapkan pemain mampu beraksi dengan lebih baik dan seterusnya berjaya mengutip tiga mata,” katanya.
Sementara itu, penyerang import skuad itu, Kipre Tchetche percaya skuadnya berada di landasan tepat untuk menjadi antara pasukan yang mampu mencabar Liga Super musim ini.
Penyerang kelahiran Ivory Coast itu juga yakin peningkatan corak permainan yang diperagakan rakan sepasukannya itu adalah antara salah satu kunci kejayaan pasukannya.
“Pasukan kami berada di landasan tepat untuk menjadi satu daripada pasukan yang mampu bersaing untuk merebut kejuaraan liga biarpun kini masih ketinggalan mata dengan pendahulu liga.
“Kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut mengembalikan motivasi kami untuk terus pamerkan aksi terbaik bagi mengutip seberapa banyak mata bagi mengejar Johor Darul Ta’zim (JDT) di persada liga.
“Kita kalah dua aksi berturut-turut pada penghujung pusingan pertama liga, jurulatih meminta kami berusaha keras untuk menamatkan kekalahan dan kita telah melakukan yang terbaik dengan menumpaskan Pahang, Perak dan Melaka dalam dua aksi terakhir.
“Saya dan rakan-rakan berazam untuk meneruskan momentum kemenangan ini apabila bertemu dengan Kuala Lumpur di laman lawan pada Sabtu ini,” katanya.