Pasukan Terengganu FC I (TFC I) mengumumkan akan mengadakan siri jelajah pra musim di Kemboja, pada awal Januari 2018 sebagai persiapan dalam menghadapi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Tiga siri perlawanan jelajah itu diadakan khas di negara kelahiran pemain import yang baharu ditandatangani TFC I, iaitu Thierry Chantha Bin.
Menurut laman facebook rasmi TFC 1, pasukan yang akan ditentang oleh pasukan itu adalah Army FC, Svay Rieng FC dan juga Phnom Penh Crown FC.
Jelajah pra-musim ini bertujuan untuk memastikan pasukan mereka bersedia dari segi kecergasan fizikal dan mental di padang, disamping membentuk keserasian di antara pemain.
Ketua jurulatih TFC I, Irfan Bakti Abu Salim yakin tiga aksi persahabatan menentang kelab di Kemboja itu nanti mampu membantunya menilai kekuatan dan kelemahan yang ada dalam pasukannya.
Jurulatih berusia 66 tahun itu berkata kepada berita harian, pasukannya terlebih dulu akan mengharungi perlawanan pemanas badan bersama pasukan ‘feeder club’ (TFC II) bulan ini.
“Saya harap siri jelajah ini medan menilai kekuatan dan kelemahan pasukannya sebelum sepak mula saingan Liga Super yang dijadual bermula Februari tahun depan,” katanya.
Selepas pulang dari Kemboja, pasukan itu akan mengharungi perlawanan empat penjuru merebut Piala Menteri Besar Terengganu pada Januari tahun depan.
Antara pasukan lain yang menyertai kejohanan 4 penjuru ini ialah Pahang, Melaka United dan Terengganu FC 2.
Ditanya mengenai kehadiran Igor Zonjic dalam pasukannya, bekas pengendali Persipura Jayapura, Indonesia itu yakin pemain kelahiran Serbia berusia 26 tahun berkenaan akan dapat mengatasi masalah di posisi benteng pertahanan.
Irfan Bakti yang pernah membimbing Negeri Sembilan, Melaka TM FC, Perlis, Selangor dan FELDA United berkata, pasukannya begitu mudah dibolosi dalam situasi bola mati sepanjang saingan Liga Perdana musim ini.
“Jadi, saya harap Zonjic yang menjadi tonggak utama buat bekas kelabnya di Liga Serbia, FK Rad mampu memainkan peranan penting di benteng pertahanan bersama gandingan pemain tempatan,” katanya.