Terengganu Diberi Saranan Agar Rombak Semula Pemain Import

Terengganu pada awal musim ini boleh dianggap berada pada prestasi yang sangat tidak menyakinkan, selepas tampil serba longlai di atas padang untuk mendapat kritikan ramai.

Selepas menjadi antara kelab terkuat musim lalu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), pasukan ini tampil dengan serba tidak kena terutama sekali menerusi corak permainan yang sangat lemah.

Selain itu, antara yang dapat dikesan dalam kalangan peminat pastinya terarah kepada barisan pemain import yang tampil dengan serba mengecewakan di beberapa posisi.

Posisi tumpuan pastinya terarah kepada barisan serangan import Terengganu yang ketika ini masih belum berada pada tahap memuaskan selepas mengharungi beberapa perlawanan.

Malah, boleh dikatakan hanya Sardor Kulmatov serta Jordan Mintah sahaja yang memberi impak besar buat Terengganu bagi slot pemain import musim ini.

Demi melihat Sang Penyu kembali bangkit semula dengan lebih baik, Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu iaitu Mohd Isa Che Ariffin tampil memberi beberapa cadangan kepada pasukan tersebut.

Saranan Mohd Isa pastinya mengharapkan supaya ada pertukaran pemain import dibuat oleh pengurusan Terengganu untuk memastikan kelab tersebut kembali di landasan terbaik.

Selain terus menumpukan kepada aksi peringkat domestik, Terengganu juga perlu lebih bersedia sebelum mengharungi saingan Piala AFC yang akan bermula pada Ogos nanti.

Mohd Isa menyatakan beliau dan para peminat lain tampil untuk menyuarakan pendapat selepas menyaksikan aksi-aksi dipamerkan Terengganu jelas tidak seperti diharapkan.

Untuk rekod, ketika ini Terengganu hanya memungut 13 mata selepas mengharungi 10 perlawanan Liga Super dengan memperoleh empat kemenangan, sekali seri, serta lima kekalahan untuk berada di tangga kelapan.

Selepas menilai kedudukan serta pungutan mata diperoleh Terengganu kini, maka Mohd Isa berharap pihak pengurusan merombak semula barisan import Terengganu untuk tampil lebih menyakinkan.

“Agak sukar sebenarnya untuk kami menyuarakan pandangan kepada pihak pengurusan TFC berhubung perkara ini (pertukaran pemain), lagipun kami hanyalah peminat setia yang tidak putus-putus menyokong pasukan baik ketika menang ataupun tewas.

“Tapi kali ini kami rasakan perlu menyuarakan pandangan dan pendapat agar pasukan terus berdaya saing dalam saingan Liga M selain Piala AFC selepas sepuluh perlawanan liga yang tidak konsisten.

“Jadi kami fikirkan pihak pengurusan perlu merombak dan melakukan pertukaran pemain import terutamanya pada jendela kedua perpindahan pemain nanti agar pasukan terus menjadi.

“Kami tidak mahu pasukan kesayangan terus ‘longlai’ dan tidak konsisten sebagaimana sekarang, kekalahan terbesar 1-5 kepada Selangor FC tempoh hari begitu perit untuk kami telan, begitu juga tewas 1-2 kepada Sri Pahang FC pada aksi ke-10 yang menyaksikan rekod tanpa kalah di laman sendiri lebur.

“Jadi kami berpandangan jentera tengah dan serangan perlu dirombak, kami rasakan pemain tengah kelahiran Croatia, Domogoj Pusic dan pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi perlu digantikan dengan pemain lain, begitu juga jentera serangan, Ivan Mamut juga perlu dinilai semula manakala penyerang Thailand, Adisak Kraisorn boleh lagi diberi peluang.

“Kami tidak mahu pasukan kesayangan tersungkur awal terutama dalam saingan Piala AFC nanti selain Liga M, harap pihak pengurusan membuat sesuatu sebelum terlewat,” kata Mohd Isa menerusi Harian Metro.

Sumber:
Harian Metro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN