Beberapa hari yang lalu telah kecoh mengenai laporan yang mengatakan para pemain Terengganu City FC (TCFC) tidak dibayar gaji oleh pihak majikan.
Oleh itu, pihak pengurusan menerusi presiden mereka iaitu Johan Ismail telah tampil memberikan penjelasan di laman rasmi mereka.
Masalah penaja
Menurut Johan, pihak pengurusan TCFC sedar akan masalah yang melanda dan mereka bertanggungjawab dalam masalah yang terjadi.
Kata Johan, mereka dalam misi untuk menyelesaikan masalah ini secepat yang boleh supaya para pemain tidak lagi menderita akibat hal ini dan mereka tidak menyalahkan sesiapa pun dalam hal ini.
“Kelab berusaha untuk menyelesaikan masalah ini secepat dan sebaik mungkin.”
“Kelab tidak menyalahkan sesiapa dalam isu ini malah redha dengan apa yang berlaku dan menganggap isu ini sebagai rencah dan asam garam dalam arena bola sepak.”
Menurut Johan, isu yang timbul adalah kerana masalah yang diwujudkan oleh 2 penaja pasukan TCFC yang tidak menepati perjanjian yang telah dipersetujui.
Hal ini telah menyebabkan kelab terputus hubungan dengan penaja tersebut.
“Hanya satu penaja sahaja mengeluarkan RM50,000 kepada kelab dan terputus hubungan selepas itu.”
“Manakala penaja utama satu lagi pula terus terputus hubungan sejurus kelab mengesahkan pendaftaran untuk saingan Piala FAM 2017.”
Kehilangan penaja ini merupakan satu sebab mengapa TCFC mengalami sedikit kesukaran pada musim ini, namun mereka tetap berusaha untuk mendapatkan penaja-penaja baharu selepas itu.
Tabung dibuka
Oleh kerana masalah kewangan yang melanda, TCFC bakal mewujudkan tabung untuk menyelamatkan kelab dari terus lumpuh.
“Kelab akan membuka tabung derma orang ramai untuk menyelamatkan kelab daripada terkubur.”
“Ini adalah antara beberapa inisiatif untuk kelangsungan kelab ini dan menjadikan kelab ini dimiliki oleh penyokong dan peminat bola sepak seperti mana yang telah dipraktikkan sekian lama di luar negara.”
TCFC akan membuka gerai jualan untuk menjual barangan serta menyediakan tabung derma untuk membantu pasukan.
Ia akan diadakan Sabasun HyperMarket di Kuala Terengganu.
“Terima kasih kepada pihak Sabasun yang sudi bersama-sama menyelamatkan kelab ini.”
“Ayuh semua menyumbang terus ke akaun kelab atau hadir ke Sabasun 1 dan 2 bagi membuat sumbangan. Saya dahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih.”
“Sama-sama doakan yang terbaik kepada kelab.”