Terengganu ketika ini boleh dianggap sebagai salah satu pasukan paling menonjol dalam persiapan dibuat, sehingga mereka menjadi antara terawal mengharungi sesi latihan rasmi bagi musim 2024/2025.
Setakat ini, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner sudah pun menandatangani lima pemain import untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan serta beberapa tonggak tempatan.
Jika dilihat pada prestasi mereka pada tahun lalu, jelas Terengganu mempunyai sasaran tersendiri pada musim ini dengan segelintir penyokong menyatakan pasukan tersebut mampu memberi persaingan merebut kejuaraan.
Malah, Sang Penyu turut berjaya menandatangani dua pemain tempatan secara pinjaman iaitu Akhyar Rashid bersama Safawi Rasid untuk memperkukuhkan lagi posisi serangan mereka.
Di posisi penyerang utama, Sang Penyu turut menyelitkan elemen baharu dengan Ismaheel Akinade turut ditandatangan untuk membantu Ivan Mamut di posisi utama serangan.
Walaupun ada elemen perubahan dibuat mereka, bekas pemain Johor iaitu Rizal Sukiman menganggap Terengganu masih belum cukup untuk cuba mencabar kejuaraan liga daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Terengganu yang mendapatkan dua penyerang berbisa JDT secara pinjaman iaitu Akhyar dan Safawi masih dianggap belum cukup ampuh untuk cuba mencabar kejuaraan kerana kedua mereka jelas tidak dapat dibawa turun menentang Harimau Selatan kerana ‘gentleman agreement’ dibuat.
Malah, kelab lain juga dianggap masih memiliki kelemahan serta masalah untuk mendapatkan lesen yang menyaksikan mereka mungkin tidak mampu untuk cuba mencabar keampuhan JDT.
“Kita lihat ada kelompok pasukan bergelut dapatkan lesen, pasukan yang sekadar melengkapkan saingan dan pasukan yang bersaing untuk tempat kedua ataupun slot ke Asia. Saya tidak nampak ada pasukan yang betul-betul boleh bagi saingan.
“JDT bijak apabila menyatakan dua pemain ini tidak boleh diturunkan apabila lawan mereka, jadi kita lihat TFC bukan bersaing untuk juara tetapi hanya boleh bersaing untuk naib juara.
“Saya tidak tahulah kalau selepas ini TFC akan mengambil pemain yang lebih hebat tetapi buat masa sekarang, saya lihat tidak perkembangan yang ‘wow’ daripada TFC.
“Pasukan lain cuba mengejar JDT namun kita harus ingat, JDT pada musim lalu tidak sama untuk musim depan.
“Ketika mereka mengejar JDT berdasarkan kekuatan musim lalu, JDT sudah memecut ke depan untuk musim baharu nanti,” kata Rizal menerusi perkongsian dibuat oleh Berita Harian.
Pada masa sama, Rizal mengakui beliau tidak sesekali memandang rendah cabaran pasukan lain, cuma JDT kini dianggap terlalu gah untuk cuba diberi tentang kelab-kelab lawan di saingan domestik.
“JDT sudah melangkah dua atau tiga tapak ke depan tetapi bola itu bulat dan apa sahaja boleh berlaku. Mungkin ada harinya di mana pemain JDT tidak berada pada tahap yang terbaik jadi pasukan lain jangan berputus asa.
“Teruskan berjuang di atas padang dan ambil pandangan ini sebagai suntikan motivasi untuk memberi cabaran kepada JDT,” katanya akhir sekali.