Lebih Banyak Soalan Timbul Selepas Notis Merobohkan SSA Keluar

Stadium Shah Alam

Selepas tertangguh beberapa kali pada tahun lepas, kelulusan Kebenaran Merancang Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) akhirnya telah dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam pada 22 Disember 2023. Proses merobohkan Stadium Shah Alam yang lama ini pada asalnya dijadualkan bermula Februari 2023.

Perkembangan baharu tersebut diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selepas ditanya di X. Walau bagaimanapun, pengumuman tersebut mengundang lebih banyak soalan. Paling pelik adalah apabila kelulusan Kebenaran Merancang KSSA dikeluarkan tanpa perlantikan pemaju, perunding projek dan kontraktor projek.

Sumber mendedahkan Kebenaran Merancang itu turut dikeluarkan tanpa sebarang perbincangan di peringkat Dewan Undangan Negeri, majlis eksekutif atau penasihat undang-undang negeri.

Sumber sama juga memberitahu Datuk Bandar Shah Alam menerima tekanan dari luar untuk mengeluarkan kelulusan Kebenaran Merancang tersebut.

Projek yang kemajuannya dilambatkan oleh karenah birokrasi kerajaan negeri turut mendapat tentangan daripada penduduk Shah Alam. Pada Oktober 2022, Ahmad Mua’Adzam Shah Ya’akob memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan negeri dan Menteri Besar Selangor untuk merobohkan Stadium Shah Alam dan membina KSSA.

Mua’Adzam memohon satu perintah certiorari bagi membatalkan keputusan kerajaan negeri itu. Dia turut mempersoalkan bagaimana kerajaan negeri akan menangani kesukaran membina KSSA tanpa menganggu keselesaan penduduk Seksyen 13 Shah Alam.

Berbalik kepada kesukaran perlaksanaan projek itu, ia terbukti apabila media melaporkan pada Januari 2024 bahawa pencawang elektrik TNB masih belum dialihkan lagi. Pencawang yang membekalkan tenaga kepada penduduk Seksyen 13 itu perlu dialihkan sebelum kerja merobohkan struktur Stadium Shah Alam dimulakan bagi mengelak masalah gangguan elektrik.

MRCB Bukan Pemaju?

Sebelum ini media melaporkan Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) telah dilantik sebagai rakan strategik kerajaan negeri dalam projek membangunkan KSSA. Walaupun MRCB telah melabur dalam fasa awal projek – dalam aspek perancangan dan reka bentuk – MRCB dilaporkan masih belum dilantik sebagai kontraktor projek secara rasmi dan hanya baru menerima surat minat daripada kerajaan negeri.

Khabar angin mengatakan terdapat sebuah syarikat yang akan terbabit secara langsung dalam projek ini: Blueprint Projects Sdn Bhd. Hasil carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat tersebut mendaftar dalam bidang kontrak kejuruteraan, pembinaan serta konsultansi dan pelaburan hartanah. Blueprint Projects mempunyai modal berbayar sebanyak RM1 juta – agak kecil untuk terlibat dalam projek infrastruktur berskala mega seperti KSSA. Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Idris Shah merupakan pemegang 70% saham syarikat tersebut.

30% lagi saham Blueprint Projects dimiliki oleh Ashwin Jonathan Sabapathy. Ashwin yang mempunyai hubungan rapat dengan Tengku Amir Shah, merupakan pengarah syarikat pemaju bernama Axios Land Sdn Bhd dan mempunyai pengalaman dalam bidang hartanah selepas bekerja di firma hartanah milik bapanya di Tribeca Real Estate Asset Management Sdn Bhd.

Ashwin (dua dari kanan) bergambar bersama Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dalam majlis perasmian Raja Muda Selangor Charity Golf Tournament (RMS) di Kuala Lumpur Golf and Country Club pada November 2023.

Persoalannya sekarang – mengapa MRCB masih belum dilantik secara rasmi sebagai kontraktor projek KSSA sehingga sekarang? Dan apakah peranan Blueprint Projects Sdn Bhd dalam projek KSSA nanti?

Mengapa Kebenaran Merancang dikeluarkan jika kontraktor belum dilantik?

Ini soalan utama yang perlu dijawab kerajaan Selangor. Bagaimana MBSA boleh mengeluarkan kelulusan Kebenaran Merancang KSSA tanpa ada sebarang kontraktor yang dilantik?

Terdapat dakwaan bahawa masih belum ada persetujuan menyeluruh dibuat melibatkan tanah awam yang perlu diserahkan kepada kontraktor untuk projek bernilai RM3.28 bilion. Situasi itu didakwa menjadi faktor mengapa kerajaan Selangor masih belum mengumumkan kontraktor projek berkenaan.

Bagi sebuah projek berskala mega seperti KSSA, ia turut menimbulkan satu lagi persoalan – mengapa kerajaan negeri tidak melakukan sebarang proses tender awam?

Baiki atau bina baharu?

Semua persoalan ini menimbulkan semula soalan asas isu ini: wajarkah Stadium Shah Alam dirobohkan dan KSSA dibangunkan?

Jabatan Kerja Raya (JKR) pada mulanya menganggarkan kos membaiki semula Stadium Shah Alam memakan kos RM154 juta. Kertas tender yang telah dikeluarkan pada peringkat awal secara khususnya menyebut ‘pembaikan’, bukannya ‘pembangunan semula’. Kos membaiki bumbung, misalnya, hanya memakan kos RM10 juta menurut salah satu dokumen asal tender projek pembaikan tersebut.

Kemudian media diumumkan mengenai penukaran projek, daripada pembaikan stadium kepada penaikan taraf Stadium Shah Alam, lengkap dengan projek tebatan banjir dan integrasi stesen Aliran Transit Ringan (LRT) yang memakan kos RM787 juta.

Kemudian media dikejutkan pula dengan pendedahan kertas projek KSSA sebenarnya melibatkan dua fasa yang memakan kos RM3.28 bilion. Daripada RM154 juta kepada RM787 juta kepada akhirnya RM3.28 bilion!

Bagaimana kerajaan negeri merancang untuk membiayai kos RM3.28 bilion ini sedangkan rizab negeri semasa baru mencecah RM3.29 bilion?

Mengapa kerajaan negeri berkeras mahu merobohkan Stadium Shah Alam dan stadium-stadium sekitarnya walaupun JKR mengesahkan strukturnya boleh bertahan 100 tahun lagi? Sebelum ini Datuk Seri Amirudin Shari sendiri pernah direkodkan memberitahu pembangunan semula KSSA bukan hasrat peribadi beliau. Sebaliknya ia hasrat Sultan Selangor; Sultan Sharafuddin Idris Shah, Raja Muda Selangor; Tengku Amir Shah dan penyokong bola sepak Selangor.

Dan mengapa kos sebenar projek KSSA tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972?

Rakyat Selangor berhak untuk tahu jika wang cukai mereka digunakan untuk membiayai projek ini – waima satu sen pun.

Masih tak terlambat untuk menangguhkan projek ini dan menjalankan kajian impak telus terlebih dahulu, lebih-lebih lagi apabila kos RM3.28 bilion dipertaruhkan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN