Penyerang Veteran Perth Glory, Bruno Fornaroli akhirnya berpeluang beraksi di pentas antarabangsa buat kali pertama di peringkat senior dalam kariernya selepas disenaraikan bersama skuad kebangsaan Australia.
Sejak tiba di Australia pada 2015, Fornaroli muncul salah seorang penyerang prolifik di A-League. Maka sudah mencukupi syarat untuk dinaturalisasikan selepas beraksi lebih lima tahun berturut-turut di negara Hemisfera Selatan tersebut.
Kini FA Australia sedang menunggu lampu hijau dari FIFA untuk dibenarkan beraksi dalam dua terakhir perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Jepun dan Arab Saudi pada minggu depan.
“Saya warga Australia sekarang. Saya ada anak yang dilahirkan di sini dan saya mahu berikan yang terbaik kepada mereka dan negara ini,” ujar Fornaroli.
“Peluang ini datang dan sudah tentu saya mahu mengambilnya. Saya mahu menikmatinya dan berjanji akan memberikan yang terbaik, 110% untuk skuad kebangsaan ini dan layak ke Piala Dunia.
Pemain berusia 34 tahun tersebut pernah mewakili skuad bawah 17 tahun (B-17) Uruguay, namun tidak pernah berjaya menembusi skuad utama yang dibarisi oleh deretan penyerang berprofil tinggi seperti Luis Suarez, Edinson Cavani, Diego Forlan dan ramai lagi.
Don’t let his birthplace fool you… @BFornaroli has so many reasons to fight for Australia 🙌🇦🇺#AllForTheSocceroos pic.twitter.com/gTJJJHtDqh
— Subway Socceroos (@Socceroos) March 17, 2022
Meskipun populasi penduduk di negara Amerika Selatan tersebut hanyalah 3.5 juta, namun rekod Uruguay di pentas Piala Dunia bukanlah calang-calang di mana mereka pernah menjuarainya sebanyak dua kali dan turut mara ke peringkat suku akhir semasa edisi 2018 di Rusia.
Australia pula kini dalam misi untuk layak ke pusingan akhir buat kali kelima berturut-turut. Pencapaian terbaik The Socceroos setakat ini adalah mara ke pusingan 16 iaitu semasa Piala Dunia 2006 di Jerman.
Dalam edisi itu, Fornaroli sempat mengimbas kembali detik-detik John Alosi menjaringkan penalti ketika perlawanan playoff menentang negara kelahirannya untuk menghantar Australia ke kejohanan berprestij itu buat kali pertama selepas 32 tahun dan menjadi tahun malang buat Uruguay.
It's 15 years since John Aloisi ended Australia's 32-year wait for an appearance at a World Cup.
The celebrations said it all. pic.twitter.com/H7asA7DlFV
— The Blizzard (@blzzrd) November 16, 2020
“Saya di Uruguay pada waktu itu, ia memang momen yang mengejutkan di seluruh negara. Tetapi itulah bola sepak, kamu tak pernah tahu apa yang akan berlaku dan sebab itulah saya cintakan sukan ini.
“Sekarang saya berada di pihak yang lain, jadi saya hanya mahu mengulanginya – gol Aloisi yang menghantar Australia ke Piala Dunia.”
Kehadiran Fornaroli diharap dapat membantu menyelesaikan masalah ketumpulan di bahagian serangan skuad kendalian Graham Arnold yang kini berada di tangga ketiga di belakang Arab Saudi dan Jepun.
Selain Fornaroli, Australia turut memanggil empat muka baharu iaitu Nathaniel Atkinson, Nicholas D’Agostino, Kye Rowles dan Gianni Stensness.
Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.
Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!