Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor (TMJ) telah pun berkongsikan saat getir dihadapi baginda ketika berada di Thailand semalam.
Sebelum itu, kelibat TMJ yang tidak hadir ke Stadium Pathum Thani bagi menyaksikan perlawanan membabitkan JDT menentang BG Pathum menjadi pertanyaan ramai, selepas baginda dilaporkan tiba di Thailand untuk memberi sokongan kepada pasukan tersebut.
Namun, sebaliknya berlaku selepas TMJ bersama keluarganya terperangkap dalam insiden keganasan di sebuah kompleks membeli belah berdekatan hotel penginapan baginda dan ianya telah pun dikongsikan menerusi media sosial.
Orang ramai menjerit dan berlari masuk ke dalam hotel dari pusat membeli-belah apabila penembak mula melepaskan tembakan. Ia sangat bising dan terdapat begitu banyak jeritan. Kami semua sedang duduk di lobi hotel ketika itu.
Kami membawa kanak-kanak/keluarga ke tempat yang… pic.twitter.com/SG4G558Tvi
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) October 3, 2023
Menurut TMJ, keadaan mula menjadi kelam kabut selepas bunyi tembakan serta jeritan mula kedengaran saat baginda berada di lobi hotel penginapan.
“Orang ramai menjerit dan berlari masuk ke dalam hotel dari pusat membeli-belah apabila penembak mula melepaskan tembakan. Ia sangat bising dan terdapat begitu banyak jeritan. Kami semua sedang duduk di lobi hotel ketika itu.
“Kami membawa kanak-kanak/keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan saya, dan fikiran saya tertumpu kepada berapa ramai penembak di luar sana, apa senjata yang mereka gunakan dan apa situasinya.
“Kami perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana yang kami tahu ketika itu hanyalah bunyi tembakan yang kedengaran. Kami tidak mempunyai maklumat lain dan perlu bersedia untuk apa-apa perkara yang boleh berlaku.
“Saya masih terbayang waktu saya memberitahu anak-anak saya, “semuanya akan kembali okay. Babah dan Mama ada di sini” dan menyuruh mereka tunduk sementara menunggu kenderaan tiba.
“Saya dan pasukan keselamatan kami berdiri di hadapan keluarga saya, membina perisai manusia untuk melindungi mereka walau apa pun berlaku.
“Apa yang difikiran saya adalah untuk membawa keluarga dan pasukan saya keluar dari tempat itu. Isteri saya memeluk anak-anak kami, menundukkan diri dan cuba menenangkan mereka kerana mereka ketakutan dan menangis.
“Saya menjerit sekuat hati kepada pasukan keselamatan kami untuk membawa kereta ke ruang bawah tanah dan membawa kami ke lokasi yang selamat jauh dari tempat tersebut.
“Saya memberitahu mereka untuk membawa kami ke Kedutaan Malaysia, dan pemandu memberitahu kami Kedutaan Singapura lebih dekat dan ketika itu saya menghubungi Konsul Jeneral Singapura di Johor,” jelas baginda.
Walaupun begitu, situasi TMJ bersama keluarga serta pasukan baginda selamat selepas mereka tiba di Kedutaan serta sudah pun pulang ke Johor sebaik sahaja semuanya selesai.
“Kini kami selamat berada di Kedutaan. Saya menghubungi Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pertahanan kita untuk memaklumkan apa yang berlaku. Duta Besar Malaysia turut ada bersama kami.
“Setelah semuanya selamat, kami akan ke lapangan terbang dan terbang pulang ke Johor. Malangnya, saya terlepas perlawanan JDT tetapi saya bersyukur keluarga saya dan pasukan kami selamat.
“Ini adalah pengalaman terburuk yang pernah saya lalui. Melindungi nyawa anak-anak saya daripada pembunuh. 2 orang meninggal dunia. Semoga Allah merahmati roh mereka yang tidak berdosa.
“Alhamdulillah, kami selamat. Terima kasih kepada pasukan keselamatan saya dan rakan-rakan kami dari Singapura dan Malaysia. Saya akan selamanya berterima kasih kepada anda semua,” kata baginda lagi.
Menurut laporan, kejadian tembak menembak itu membabitkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dan keganasan yang dibuat beliau menyaksikan dua orang awam menjadi korban selain lima lagi mengalami kecederaan.
Pihak polis Thailand juga menyatakan mereka juga berjaya memberkas suspek yang menyerah diri dan motif sebenar masih belum diketahui.