Teori ‘Sumpahan Musim Ke-7’, Jurgen Klopp & Liverpool

'sumpahan musim ke-7' jurgen klopp Liverpool

‘Sumpahan musim ke-7’ sangat berkait rapat dengan Jurgen Klopp dan musim ini adalah yang ketujuh pengendali tersebut bersama Liverpool.

Klopp ada mengakui sebelum ini yang prestasi mereka di permulaan musim 2022/23 sangat membimbangkannya. Beliau mengakuinya sedari awal.

“Kami sepatutnya menang aksi ini [lawan Man United]. Saya tahu ia kedengaran tidak masuk akal, tetapi itulah cara saya melihatnya. Saya sangat bimbang dengan situasi kami, tetapi begitulah keadaannya.”

Ketika itu, Liverpool baru melalui tiga perlawanan dan mereka belum meraih kemenangan. Berdepan pasukan bermasalah, Man United – yang tewas kepada Brighton and Brentford, mereka seharusnya mendapat sesuatu dalam perlawanan tersebut Sebaliknya berlaku, mereka tewas 1-2.

Klopp telah mengesan masalah yang terdapat dalam pasukan, namun mungkin ada yang mengatakan ia terlalu awal untuk bimbang. Selepas melalui 11 aksi, nasib mereka masih tidak berubah. Terbaru, mereka tewas 0-1 kepada Nottingham Forest, kekalahan ketiga ‘The Reds’ pada musim ini.

Taiwo Awoniyi meledak gol tunggal perlawanan untuk tiga mata berharga dan telah melonjak Forest keluar dari dasar English Premier League.

Adakah teori ‘sumpahan musim ke-7’ Jurgen Klopp mula menunjukkan kesannya. Adakah Liverpool akan melalui musim yang suram kali ini?

Jika melihat kepada satu lagi teori, adakah Klopp sebenarnya berada di kemuncak kitaran kerjayanya? Jika pengurus lain mungkin melalui kitaran kerjaya selepas tiga musim, Klopp sedikit berlainan, ia berlaku di tahun ke-7.

Ada juga teori minoriti yang mengatakan ia berlaku pada musim kelima.

Menurut penulis The Guardian, Chris Evans, untuk seseorang jurulatih kekal relevan bersama pasukan yang sama dalam satu jangka masa yang lama adalah dengan membuat pasukan sentiasa ada pendekatan segar selepas tiga tahun. Jika tidak, mungkin hayat mereka bertahan hanya tiga tahun.

“Jurulatih yang mencapai kejayaan berterusan dalam tempoh yang panjang dan meninggalkan pasukan ketika di puncak prestasi sentiasa membina semula pasukan mereka.”

“Jawapan buat jurulatih adalah bukan meninggalkan pasukan selepas tiga tahun, tetapi seperti yang dicadangkan oleh Guttmann, jurulatih perlu menguasai seni memastikan pasukan sentiasa segar supaya mereka tidak terkena sumpahan tahun ke-4.”

Beliau memberikan contoh bagaimana Alex Ferguson boleh kekal berjaya dalam tempoh yang panjang bersama Manchester United. Ia adalah dengan membina dan merombak pasukannya banyak kali. “Salah satu kekuatannya [Alex Ferguson] ialah keupayaannya untuk mengetahui bila ia perlu berlaku [perubahan] dan keberaniannya untuk mengambil tindakan drastik.

Mungkinkah Klopp dan Liverpool perlu melakukan perubahan pemain supaya pasukan boleh kembali kepada tahap prestasi yang lebih baik?

Ini kerana, kitaran kerjaya mereka sangat bergantung kepada pilihan pemain yang ada di tangan mereka serta pendekatan yang digunakan ketika itu.

Menurut seorang penulis sukan, Johan Inan, beliau percaya yang Liverpool merosot disebabkan tidak berlaku pertukaran pemain bukan isu lain.

“Liverpool melalui musim yang teruk di bawah kendalian Jurgen Klopp. Adakah anda percaya dengan ‘sumpahan musim ke-7 beliau?”

“Ia berlaku di Mainz. Selepas itu Dortmund dan kini Liverpool. Ada yang mengatakan ia berpunca daripada krisis kecederaan yang dilalui pasukan. Faktanya adalah pemain-pemainnya tidak bertukar. Mereka belum lagi berada dalam kekuatan untuk berperang.”

Seperti contoh yang diberikan Evans, Ferguson tiada sentimen dengan mana-mana pemain, sebaik sahaja mereka menunjukkan prestasi mereka mula menurun, beliau tidak akan teragak-agak untuk menjual mereka.

Selain Ferguson, beliau turut memberikan contoh seperti Sam Allardyce yang menukar profil pemain yang ditandatangani selepas mengukuhkan kedudukan Bolton dalam saingan liga serta bagaimana David Moyes membangunkan Everton sebagai pasukan yang sentiasa berada dalam kalangan lapan terbaik selepas melalui kemerosotan pada musim ke-4.

Apa erti ‘sumpahan musim ke-7’ buat Jurgen Klopp? Sebenarnya sudah dua kali beliau melalui musim teruk apabila masuk tahun ketujuh bersama.

Pertama kali, ia berlaku ketika beliau membimbing Mainz 05 di Bundesliga. Tahun ketiga – kemuncak kitaran kerjaya seseorang pengendali, beliau berjaya membawa mereka ke pentas Bundesliga. Di tahun ke-7 beliau di Mainz, beliau membawa mereka kembali jatuh ke divisyen ke-2 Jerman.

Kali kedua berlaku ketika Klopp bersama Borussia Dortmund. Ia melalui kesukaran di musim ke-7 selepas memberikan Dortmund dua kejuaraan liga. Mereka hampir tersingkir ke divisyen ke-2, namun mujur buatnya apabila kali ini beliau berjaya menyelamatkan mereka di penghujung musim.

Di Liverpool juga Klopp membawa keajaiban dengan memberikan Liverpool kejuaraan Premier League yang dinantikan selepas 30 tahun. Mereka juga meraih UEFA Champions League dan Piala FA dibawah kepimpinannya.

Mampukah beliau sekurang-kurangnya melalui beberapa musim tanpa trofi untuk kembali mengangkat ‘The Reds’ dengan set pemain yang baharu? Seperti mana Ferguson yang melalui beberapa musim tanpa trofi di Man United untuk membina skuad yang segar bagi mencabar semula kejuaraan.

Beliau mungkin boleh bersabar tetapi adakah pengurusan Liverpool dan penyokong mereka boleh menanti dengan penuh sabar? Mungkin tidak.

Tetapi, beliau ada masa untuk melakukannya apabila akan bersama mereka sehingga musim 2026. Dan perubahan itu sedang cuba dilakukannya.

Bercakap kepada The Anfield Wrap pada permulaan musim ketujuhnya, Klopp telah menyatakan tentang keperluan untuk membuat perubahan.

“Kita telah bersama agak lama, musim ke-7 saya di sini. Tetapi kita tidak boleh kekalkan apa yang ada dalam pasukan. Kita tidak boleh katakan ianya bagus dengan pasukan sedia ada yang semakin menua. Anda perlu lakukan perubahan, kita perlu. Dan kita sedang lakukannya.”

Kata kuncinya, bolehkah para penyokong Liverpool bersabar untuk menanti semula kejuaraan mereka? Masa diperlukan untuk Klopp membina semula.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN