Temuramah Eksklusif Bersama Kevin Ramalingam, CEO FMLLP (Siri 2/3)

SB: Baru-baru ini, J League menandatangani perjanjian kesefahaman dengan FAM. Salah satu kandungan perjanjian tersebut adalah untuk menawarkan peluang kepada pemain Malaysia untuk bermain di Jepun dan pemain Jepun bermain di Malaysia. Untuk memudahkan proses perpindahan pemain ini, adakah jendela perpindahan liga tempatan akan diubah supaya serentak dengan jendela perpindahan di Jepun dan Eropah (Januari dan Ogos)?

KR: Ya. Ini sesuatu yang kami mahu lakukan untuk membantu pasukan membawa pemain yang lebih berkualiti ke liga tempatan. Ketika ini kita sudah mempunyai lebih kurang 200 pemain import di liga kita.

Pemain-pemain ini selalu ditukar-tukar dan kontrak mereka juga sangat pendek kerana mereka adalah pemain import yang tidak berkualiti. Jika kami mengubah jendela perpindahan supaya selari dengan jendela perpindahan antarabangsa, pasukan-pasukan kita akan mempunyai lebih banyak pilihan yang lebih berkualiti.

Tetapi jika kami mengubah jendela perpindahan liga sekalipun, kami masih perlu melihat bulan Ramadan sebagai faktor. Ini kerana Ramadan semakin awal setiap tahun. Katakanlah Ramadan jatuh pada bulan Februari, adakah kami perlu menghentikan liga sedangkan pemain import baru sampai pada bulan Januari?

Kami sentiasa menghormati bulan Ramadan. Oleh itu kami perlu mengkaji adakah perlu kami menghentikan liga pada bulan Ramadan? Atau bolehkah kami meneruskan liga seperti biasa? Jika kami terpaksa meneruskan liga pada bulan Ramadan, kami harap peminat bola sepak tempatan faham keputusan kami.

Bukannya kami tidak menghormati bulan Ramadan, tetapi kami perlu teruskan untuk memastikan perjalanan liga sentiasa berjalan lancar.

11717158_10205983356077519_1062070762_n

SB: Ketika ini, pasukan kebangsaan negara kita kekurangan pemain muda yang boleh mencabar tempat pemain senior. Bukankah ini petanda bahawa pembangunan bakat muda patut menerima lebih dari sekadar RM7 juta (daripada RM70 juta yang diberi MP & Silva)? Dan kepada siapa peruntukan ini akan diberi?

KR: Pertama sekali, ada berlakunya salah faham dalam isu ini. Saya dah betulkan salah faham tentang isu ini semasa di bengkel penswastaan liga yang disertai pasukan-pasukan di liga. Peruntukan itu (RM7 juta) memang dikhaskan untuk pembangunan, tetapi bukan untuk pembangunan bakat muda yang menjadi tanggungjawab FAM.

Ianya lebih kepada pembangunan kemudahan asas untuk pembangunan akar umbi dan pembangunan pengadil. Saya masih ingat carta pai yang disiarkan di berita (Buletin Utama di TV3) dan bagi saya label carta pai tersebut agak menyimpang.

11174723_10205221983841535_7469236166910883532_o

Saya sudah menjelaskan bahawa 10% daripada duit MP & Silva (RM7 juta) ini akan diberikan kepada pasukan yang menaik taraf kemudahan latihan mereka. Ketika ini, masih banyak pasukan yang tidak mempunyai kemudahan latihan yang lengkap.

Jadi kemudahan latihan setiap pasukan akan digredkan kepada gred A, B dan C. Setiap gred akan menerima jumlah peruntukan yang berbeza setiap tahun. Contohnya, jika pasukan hanya mempunyai kemudahan latihan gred C (kemudahan latihan paling asas), kami akan memberikan insentif yang sedikit.

Jika ada pasukan yang menaik taraf kemudahan latihan mereka dari gred C ke B atau B ke A dengan membina padang latihan mereka sendiri dan mencantikkan rumput padang latihan, kami akan memberi insentif yang lebih besar. Jadi pasukan akan memperoleh lebih banyak peruntukan duit jika mereka melabur untuk mempunyai padang latihan yang bagus.

Kita boleh bercakap tentang pembangunan bakat muda sepanjang hari, tapi kalau padang latihan pun kena pinjam dari pasukan lain tidak guna juga.

Selain itu, RM7 juta ini juga akan digunakan untuk menaikkan kualiti pengadil. Jadi RM7 juta ini hanyalah untuk menaik taraf kemudahan latihan pasukan dan pembangunan pengadil.

Pembangunan bakat muda masih akan diurus oleh FAM menerusi peruntukan RM28 juta yang mereka terima. Dan kami juga sudah berdialog dengan NFDP yang sudah melakukan kerja yang bagus setakat ini. Jadi sudah pastilah kami tak boleh mengabaikan mereka.

SB: Dengan banyak perhatian peminat bola sepak ketika ini tertumpu kepada pemain-pemain NFDP ketika ini, sehingga kini kami masih belum nampak satu perancangan yang jelas untuk memastikan pemain-pemain berbakat daripada NFDP ini boleh menjadi pemain professional. Apakah perancangan FMLLP untuk membantu pemain-pemain ini menjadi pemain professional selepas mereka tamat di NFDP?

KR: Jika kita lihat pasukan-pasukan bawah 20 tahun seperti Mali, Senegal, Brazil dan Serbia yang bertanding di Piala Dunia Bawah-20, kita harus tahu bukan semua pemain-pemain muda ini dapat menjadi pemain skuad senior apabila meningkat umur kelak.

Ini bukan masalah Malaysia sahaja. Ini masalah universal. Ia berlaku di mana-mana negara. Negara yang mempunyai skuad kebangsaan senior yang kuat adalah negara yang menemui cara untuk memastikan transisi yang lancar dari pemain muda kepada pemain senior professional.

Disinilah kami mengharapkan dapat bekerjasama dengan NFDP dan pihak-pihak lain yang menjalankan program pembangunan akar umbi, supaya kita boleh menjamin transisi yang lancar dari pemain muda kepada pemain professional.

Kita harus menerima hakikat tidak semua pemain skuad Serbia bawah-20 tahun yang bermain di final Piala Dunia Bawah-20 akan bermain di skuad senior Serbia di Piala Dunia. Malah kita mungkin tak dapat melihat separuh daripada mereka bermain untuk skuad senior. Mungkin hanya 2-3 pemain sahaja yang akan menjadi bintang skuad senior.

Sebab itulah penting bagi kami untuk menyokong NFDP dan program-program pembangunan akar umbi yang lain untuk terus melatih pemain-pemain muda yang baru. Ketika ini kami belum ada jawapannya (cara untuk memastikan majoriti pemain NFDP menjadi pemain professional) kerana ia bukan masalah Malaysia sahaja. Ia masalah yang dihadapi seluruh dunia.

Apa yang kami boleh buat adalah membangunkan liga tempatan kita dengan cara yang professional untuk membolehkan pasukan-pasukan di liga kita boleh menyerap kemasukan pemain-pemain muda ini selepas 17 tahun. Kami akan berikan mereka platform untuk terus berkembang kerana pembangunan bakat muda tak terhenti selepas umur 17 tahun.

Ketika ini, FMLLP dan NFDP sedang bekerjasama. Saya rasa NFDP sudah mengumumkannya di Twitter mereka. Kami akan mengumumkan hasil kerjasama kami apabila masanya sesuai nanti.

SB: Apa pandangan anda dengan cadangan peminat bola sepak tempatan yang mahukan Piala FA dan Piala Malaysia disatukan untuk mengelak kesibukan jadual perlawanan bola sepak?

KR: Bagi saya, menganjurkan 3 kejohanan (Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia) dalam satu musim adalah perkara yang boleh dilakukan tanpa memberi kesusahan kepada pasukan.

Cuma masalahnya di Malaysia adalah kriteria kelayakan Piala Malaysia yang hanya bermula selepas kempen liga tamat. Ketika ini, kita cuba menghabiskan kempen liga selama 6-7 bulan. Kemudian barulah kita buat Piala Malaysia yang mengambil masa 2 bulan. Kemudian, kita perlu ambil kira rehat pertengahan musim liga dan bulan Ramadan lagi.

Masalah akan timbul apabila kita cuba menghabiskan liga dalam masa 6-7 bulan. Itulah sebabnya jadual bola sepak kita sangat sibuk. Ada sesetengah pasukan yang terpaksa bermain 8 perlawanan dalam masa 25 hari. Jika kita betul-betul tak dapat menyelesaikan masalah ini, barulah kami akan pertimbangkan menggabungkan Piala FA dan Piala Malaysia.

Tetapi kami juga perlu mengambil kira kekayaan sejarah Piala Malaysia, kejohanan bola sepak tertua dan paling berprestij di Malaysia. Kami ada tanggungjawab untuk memelihara sejarah Piala Malaysia.

Daripada bersaing di liga selama 6-7 bulan dan kemudian bersaing di Piala Malaysia selama 2 bulan, saya lebih suka kalau liga kita dimainkan sepanjang tahun. Jadi untuk menyelesaikan isu jadual sibuk tanpa mengorbankan Piala Malaysia, kami melihat kemungkinan untuk memulakan Piala Malaysia lebih awal. Kriteria kelayakan Piala Malaysia akan diubah.

Jadi kita akan melihat liga kita dimainkan dari Januari sehinggalah Oktober, sebagai contoh. Pada separuh pertama liga, kita akan mulakan saingan liga dan Piala FA.

Pada separuh masa kedua liga, kita akan teruskan saingan liga dan mulakan Piala Malaysia. Kami sedang mengkaji jika cara sebegini dapat menyelesaikan masalah jadual yang terlalu sibuk.

Siri 1/3: Kevin menjelaskan perubahan dan salah faham tentang isu penswastaan liga.

Siri 3/3: Kevin memberi komen tentang cadangan peminat bola sepak tempatan yang mahu singkirkan Lions XII dari Liga Super.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN