Dengan CIMB Liga Super 2020 sedang ‘berehat’ panjang ketika ini, Semuanya BOLA akan bawakan kepada pembaca senarai lima gol pilihan yang telah dihasilkan oleh setiap pasukan bertanding bermula pada minggu pertama yang lalu.
25 gol telah dihasilkan oleh 12 pasukan untuk enam perlawanan di minggu kedua CIMB Liga Super 2020, ia meningkat lebih sekali ganda berbanding jumlah jaringan pada minggu pertama lalu. 12 gol telah dihasilkan pada minggu pertama.
Berikut adalah lima gol yang menjadi pilihan untuk gol pilihan di minggu kedua Liga Super yang berlangsung pada 06 Mac hingga 07 Mac 2020:
Nazmi Faiz (JDT v UiTM FC)
Jaringan kemenangan JDT menentang UiTM FC yang dijaringkan Nazmi Faiz Mansor ini boleh diletakkan dalam senarai gol pilihan kerana kesukaran tuan rumah bergelut memburu gol kemenangan dan akhirnya muncul ledakan dari luar kotak penalti ini.
Ia menoktahkan perjuangan UiTM FC apabila hantaran rendah Leandro Velazquez berjaya menemui Nazmi Faiz Manzor yang sedang membuat larian seterusnya melepaskan rembatan deras untuk menewaskan penjaga gol pelawat di minit ke-69.
Ifedayo Olusegun (Selangor v Perak)
Sekali lagi, Ifedayo Olusegun menunjukkan sentuhan berbisanya dan kali ini menerusi tandukan terbang untuk Selangor menyamakan kedudukan di minit ke-31, selepas Perak mendahului perlawanan menerusi jaringan Shahrel Fikri pada minit ke-9.
Ifedayo Olusegun berjaya melepasi kawalan pertahanan pelawat, Anthony Golec dan seterusnya menyambut lambungan ke dalam kotak penalti dengan tandukan terbang untuk menewaskan penjaga gol muda Perak, Nasrullah Abdul Aziz.
Ivan Carlos (Pahang v PJ City)
Penyerang baharu Pahang ini dilihat tidak mengambil masa yang lama untuk sesuaikan diri dengan permainan Tok Gajah. Ketika kedudukan terikat 1-1, Ivan Carlos berjaya memberikan Pahang kelebihan gol enam minit selepas babak kedua bermula.
Hantaran lintang rendah dari sebelah sayap kanan berjaya melewati salah seorang pertahanan tuan rumah dan menemui Ivan Carlos yang seterusnya hanya membuat sentuhan ‘flick’ yang berhasil menewaskan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi.
Domiqiue Sylva (Terengganu FC v Kedah)
Persis lagenda Kedah, Marlon Alex James. Itulah persamaan yang diberikan kepada kelibat penyerang Terengganu FC ini ketika menentang Kedah yang menyaksikan mereka bangkit daripada ketinggalan 1-3 untuk menang 4-3 di hujung perlawanan.
Jaringan ‘chip’ dari luar kotak penalti melewati penjaga gol pelawat, Ifwat Akmal menyaksikan permulaan kebangkitan Terengganu di minit ke-81, selepas Dominique Sylva berjaya mengatasi Renan Alves, meneruskan larian dari tengah padang.
Wan Amirul Afiq (Melaka United v PDRM FA)
Bek sayap kanan Melaka United ini telah menyumbang tiga bantuan gol dan satu gol dalam empat aksi setakat ini. Jaringannya pada minggu kedua ini sangat menarik kerana jarak dan juga teknik sepakannya yang memberikan tuan rumah gol ketiga.
Wan Amirul Afiq yang ketika itu berada di luar kotak penalti telah menerima clearance kurang baik oleh benteng PDRM yang seterusnya membuat rembatan ‘half volley’ deras untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Bryan See Tian Kiat.
Itu adalah senarai lima gol pilihan daripada Semuanya BOLA sepanjang aksi pada minggu kedua Liga Super. Anda ada cadangan jaringan lain yang perlu berada dalam senarai tersebut? Sila tinggalkan pendapat anda di ruangan komen.
KREDIT FEATURED IMAGE: MELAKA UNITED