Pemain import baharu Kedah, Dechi Marcel tekad untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh pasukan dan para penyokong Hijau Kuning dengan aksi yang menyakinkan sebaik sahaja Liga Malaysia (Liga M) serta Piala AFC berlangsung musim ini.
Jelas pemain yang beraksi di posisi tengah ini, penyertaan beliau bersama Kedah pada musim ini merupakan sesuatu pengalaman yang baru membuatkan Marcel sangat teruja setelah lima tahun menetap di Malaysia selaku pemain bola sepak profesional.
Sebelum itu, Marcel pernah beraksi untuk UiTM FC pada musim 2017 sebelum aksi cemerlang beliau berjaya memenangi hati pengurusan Terengganu II yang membawa beliau beraksi bersama pada musim 2019.
Impak positif yang dipamerkan beliau berjaya membuahkan hasil apabila menjadi nadi utama buat Terengganu yang beraksi di Liga Super musim lalu sehingga Kedah tertarik untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut untuk musim 2022.
“Saya rasa sangat teruja dan memulakan latihan bersama pasukan Kedah yang dibimbing oleh Ketua Jurulatih, Aidil Sharin yang merupakan antara seorang jurulatih terbaik dalam Liga M.
“Saya kini sudah memulakan latihan dan setiap arahan yang diberi Aidil pastinya memberi panduan berguna untuk diadaptasikan pada aksi pramusim yang akan bermula mungkin minggu depan.
“Saya mahu terus bekerja keras bagi membuktikan kemampuan diri saya pada musim ini dan membalas kepercayaan terhadap saya diatas pemilihan yang dilakukan oleh pihak pengurusan.” katanya sebelum memulakan latihan di Stadium Sultan Abdul Halim kepada Harian Metro.
Pemain yang diberi gelaran ‘Kante’ ini juga sudah serasi bersama corak permainan Liga M sebelum ini dan pastinya tidak mengambil masa yang lama untuk beradaptasi dengan taktikal yang akan disampaikan oleh Aidil Sharin.
Beliau juga sedar mengenai tanggungjawab besar di posisinya yang akan menjadi tunjang utama pasukan untuk menguasai bola dan melancarkan serangan yang baik seperti yang amat diharapkan oleh para penyokong.
“Saya juga tahu penyokong inginkan sesuatu dalam persembahan nanti dan itu adalah motivasi terbaik buat saya kepada seluruh penyokong Kedah dalam memulakan aksi sebenar bersama pasukan nanti.
“Apa yang saya idamkan adalah mahu tampil dengan aksi terbaik dan pastikan penyokong Kedah lebih bersemangat pada musim ini.” katanya dengan penuh semangat.