Tekad Bersihkan Nama Daripada Fitnah, Richard Sinappan Komited Bimbing Jurulatih Generasi Baharu

Richard Sinappan

Tidak mudah untuk berdepan dengan cemuhan akibat daripada fitnah yang dilemparkan. Itulah yang sedang dihadapi oleh Richard Sinappan, bekas pemain kebangsaan yang kini merupakan tenaga pengajar kursus kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Semuanya bermula apabila timbulnya laporan polis dan kenyataan media yang tentang ‘salah laku’ yang didakwa dibuat oleh Richard semasa berlangsungnya Kursus Kejurulatihan Bola Sepak FAM/AFC ‘C’ di Melaka pada tahun lalu.

Laporan tersebut menyatakan bahawa Richard selaku ketua tenaga pengajar di dalam kursus berkenaan telah bersikap tidak berperikemanusiaan, menyentuh sensitiviti politik, kaum dan agama, menghina penjawat awam serta tidak membenarkan peserta menunaikan kewajipan bersolat.

Selepas beberapa siri siasatan dibuat oleh pihak FAM, beliau bebas daripada sebarang tindakan disiplin. Hasil maklum balas yang diterima oleh peserta-peserta kursus lain, dakwaan tersebut gagal dibuktikan.

Sebaliknya Richard kini sedang dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang memfitnahnya dengan mengemukakan saman sivil di atas segala bentuk kerugian setelah nama dan reputasinya tercemar.

Selain emosi diri dan keluarganya terganggu, beliau juga berdepan kesukaran untuk memuktamadkan tawaran daripada beberapa pihak yang pada awalnya telah menunjukkan minat tetapi dibatalkan disebabkan fitnah yang dibangkitkan sebelum ini.

Ditemui semasa majlis penutup Kursus Kejurulatihan FAM/AFC ‘C’ Anjuran Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) di Pusat Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Richard masih tenang menjawab persoalan mengenai masa depannya.

Kredit foto: Aremilworks

Selaku tenaga pengajar kursus kejurulatihan yang diiktiraf oleh AFC, beliau telah pun dijemput untuk menjalankan kursus kejurulatihan di pelbagai negara di seluruh rantau Asia dan akan terus komited untuk membimbing jurulatih-jurulatih generasi baharu yang bakal melahirkan bintang bola sepak masa hadapan.

Richard ternyata berbesar hati dapat membimbing beberapa orang pemain profesional di dalam kursus ini seperti Safee Sali, Mahali Jasuli, Shahril Sa’ari, Syed Adney Syed Hussin, Arman Fareez Ali, Hairul Nizam Hanif, Suwarna Raj dan Syamim Othman.

Beliau melihat golongan ini mempunyai kelebihan yang cukup besar di atas faktor kelebihan serta kemahiran yang dimiliki oleh mereka.

“Selama dua minggu saya bersama mereka, saya boleh katakan mereka mempunyai  masa depan yang cerah kerana di usia yang muda mereka sudah pun mengambil kursus lesen ‘C’,” ujar jurulatih dari Melaka ini.

“Apa yang saya lihat mereka ini senang untuk terapkan kefahaman, mereka mudah menerima apa yang ditunjuk ajar oleh instructor.

“Daripada aspek untuk membuat demonstrasi, mereka mempunyai kualiti yang amat baik, terutamanya dalam melakukan teknik-teknik dan pergerakan-pergerakan sesuatu kemahiran.

Kredit foto: Aremilworks

“Nasihat saya, kalau boleh tawarkan diri untuk berkhidmat dengan mana-mana pasukan. Jangan ambil kira mengenai imbuhan, duit atau lain-lain.

“Yang penting sekarang mereka perlu lahirkan lebih ramai pemain. Dengan ilmu yang telah dipelajari di dalam kursus dan ilmu yang mereka ada semasa bermain bola sepak. Apabila dicantumkan dua aspek ini, mereka akan sentuh lebih ramai pemain-pemain yang tidak sama sikap.

“Mereka akan belajar sendiri bagaimana untuk mengendalikan sesi latihan bersama pemain-pemain yang tidak sama umur dan keupayaan mereka.”

Richard turut menasihatkan agar jurulatih-jurulatih generasi baharu memperluaskan lagi kefahaman mereka secara lebih mendalam dalam bidang sukan supaya mereka dapat menguruskan pasukan dan menerapkan sesi latihan dengan ilmu pengetahuan yang betul mengikut fakta dan kajian sains.

“Kehadiran mereka mengambil kursus ini adalah pada masa yang tepat. Ramai di antara mereka dah mula bersara dan mempunyai keinginan untuk menjadi jurulatih,” tambahnya.

“Bukan setakat kursus ‘C’ sahaja mereka perlu ambil dan berhenti. Mereka perlu juga perlu mendalami kursus-kursus lain seperti sains sukan, pemakanan supaya lebih matang dalam sukan bola sepak.

“Fikir apa latihan yang kita boleh buat untuk lahirkan pemain-pemain di peringkat akar umbi yang akan bermain di peringkat tertinggi. Fikir bagaimana kita boleh bantu bola sepak Malaysia. Kemudian imbuhan itu akan datang dengan sendirinya.”

Bekas pemain Kedah, Kuala Lumpur dan Perlis, Arman Fareez Ali dalam responnya menjelaskan bahawa Richard adalah seorang tenaga pengajar yang baik dan mempunyai tuntutan yang tinggi.

Kredit foto: Aremilworks

“Walaupun tegas, dalam masa yang sama beliau bertolak ansur juga dengan peserta. Beliau menuntut komitmen yang tinggi dan sebenarnya ia bagus untuk kami para peserta,” ujar Arman.

“Kami dapat ilmu yang sangat terperinci darinya. Walaupun kami sebagai bekas pemain, kami tahu sesuatu benda itu, tetapi kami tak faham secara terperinci, kami hanya tahu secara umum sahaja.

“Tetapi dengan coach Richard dia menjelaskan segalanya dengan terperinci, jadi kami dapat pelbagai input berguna sepanjang kursus ini.”

Seorang lagi peserta, Kamil Hakime pula mengakui ada mendengar beberapa khabar agin yang tidak baik mengenai Richard sebelum kursus. Tetapi pandangannya berubah setelah berdepan terus dengan individu berkenaan.

Kredit foto: Aremilworks

“Setelah berada bersama dengannya selama lebih dua minggu dan juga semasa tempoh rehat yang memerlukan kami membuat kerja rumah analisa perlawanan, daripada situ kita boleh nampak yang coach Richard ini tidaklah seperti apa yang digambarkan,” ujar guru Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Ipoh ini.

“Beliau adalah seorang yang sangat terperinci dan tegas dengan tugasannya sebagai seorang coach educator. Jadi saya boleh sahkan apa yang digembar-gemburkan itu tidak benar.

“Saya diberi tunjuk ajar tentang cara bermain, persediaan sebelum permainan. Saya yang masih baharu dalam bidang kejurulatihan ini rasa beruntung dalam perkongsian ilmu daripadanya beliau dan juga bekas-bekas pemain profesional di sini.

“Ia dapat mempertingkatkan ilmu untuk melahirkan pemain yang lebih berkualiti pada masa akan datang.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN