Teka-Teki Posisi Terbaik Kylian Mbappe Dalam Skuad Real Madrid

Kylian Mbappe Real Madrid

Kylian Mbappe sudah hampir pasti menjadi sebahagian daripada anggota Galácticos era baharu Real Madrid. Bagai menjadi kelaziman bagi Florentino Perez bagi mendapatkan mana-mana pemain yang beliau mahu.

Bermula dengan pembelian Luis Figo pada Julai 2000, Santiago Bernabeu kekal menjadi destinasi idaman handalan dunia.

Bagi musim hadapan, pemain pertahanan Chelsea iaitu Antonio Rudiger sudah sah menjadi milik kelab tersebut.

Biarpun baru berusia 23 tahun, curriculum vitae (CV) milik Mbappe sudah dianggap sebagai cemerlang.

Pada tahun 2018, Mbappe telah berjaya membantu Perancis untuk memenangi Piala Dunia. Ketika itu, beliau baru berusia 19 tahun.

Bersama Paris Saint-Germain (PSG) pula, Mbappe sudahpun memenangi empat kejuaraan Ligue 1 termasuk musim ini.

Dibantu oleh Lionel Messi dan Neymar, sebanyak 25 gol dan 17 bantuan gol berjaya dihasilkan di Ligue 1 pada musim ini. Mbappe juga merupakan pemain terbaik Ligue 1 untuk tiga tahun iaitu 2019, 2021 dan 2022.

Ketika ini, Mbappe kerap bermain di posisi penyerang tengah dan sayap kiri di PSG. Namun begitu, kemasukan Mbappe ke Real Madrid sudah pasti membuka teka-teki baharu buat peminat Los Blancos.

Persoalan pertama yang bermain di benak fikiran mereka sudah pasti posisi yang bakal diisi oleh Mbappe. Bagaimana pula dengan kedudukan Karim Benzema dan Vinicius Jr di dalam skuad tersebut?

Mbappe dari sudut statistik

Laman statistik WhoScored? menyenaraikan posisi Mbappe sebagai pemain serangan yang versatil.

Mbappe boleh digunakan sebagai pemain tengah menyerang, penyerang tengah, sayap kiri dan sayap kanan kerana kelincahan kedua-dua kakinya.

Sejak dari kecil, beliau dilatih oleh bapanya, Wilfried yang merupakan seorang jurulatih bola sepak. Bakatnya sering dibandingkan dengan seorang lagi pemain dari akademi bola sepak Clairefontaine iaitu Thierry Henry.

https://twitter.com/KMbappeTeam/status/1524743967543156736?s=20&t=gKs0wUs7vTajDmIThobvpg

Larian yang pantas, gerakan lincah memasuki kotak penalti melalui kawasan sayap dan ketenangan penyudahnya di hadapan gol. Ketiga-tiga bakat ini menyebabkan PSG tidak teragak-agak untuk memecahkan rekod dunia pada tahun 2017 ketika menandatangi beliau.

Sebanyak £166 juta dibelanjakan mereka untuk membeli Mbappe daripada AS Monaco.

Daripada 30 perlawanan, Mbappe digunakan sebagai penyerang tengah dengan 24 gol dan 17 bantuan gol dihasilkan.

Manakala di dalam 18 perlawanan lain, beliau digunakan sebagai pemain sayap kiri dengan 12 gol dan enam bantuan gol terhasil.

Purata rating sebanyak 7.82 di WhoScored? menunjukkan Mbappe jauh meninggalkan kesemua pemain Real Madrid. Hanya Karim Benzema dengan rating 7.76 paling hampir dengan prestasi Mbappe.

Maka, kehadiran beliau sudah pasti akan memberikan tonik berharga buat Real Madrid untuk musim hadapan.

Posisi Mbappe menurut beliau sendiri 

Teka-teki mengenai posisi terbaik bagi Kylian Mbappe ini pernah menjadi bahan kajian bagi laman sesawang Statista pada Jun 2019.

Selepas 100 gol dijaringkan oleh beliau sepanjang tiga tahun sebagai pemain profesional, Statista menyenaraikan posisi penyerang tengah sebagai kedudukan terbaik buat Mbappe.

Ketika itu, sebanyak 63 jaringan terhasil daripada posisi tersebut, berbanding 33 jaringan daripada posisi sayap kanan. Sebanyak tiga jaringan dihasilkan daripada posisi sayap kiri dan satu jaringan terhasil daripada posisi penyerang kedua.

Namun begitu, Mbappe mempunyai rating WhoScored? sebanyak 7.99 apabila bermula dengan posisi sayap kiri bagi musim ini.

Ini menunjukkan beliau merupakan pemain serangan versatail dan mampu menyesuaikan diri dengan keperluan pasukan.

Teka-teki ini sebenarnya telah terjawab dengan jawapan beliau sendiri kepada soalan Rio Ferdinand di dalam satu temu ramah bersama BT Sport.

Bagi Mbappe sendiri, posisi yang tertulis di atas kertas bukanlah segalanya. Beliau menganggap dirinya memiliki kebebasan yang diberikan oleh jurulatih untuk menterjemahkan segala kebolehannya.

Namun begitu, sebagai satu pasukan mereka perlu lebih menekankan kepada gerak kerja sebagai satu pasukan, baik semasa menyerang dan bertahan.

Sekiranya Carlo Ancelotti memberikan kebebasan yang sama kepada Mbappe di Real, besar kemungkinan Los Blancos sudahpun mempunyai pengganti kepada Karim Benzema.

Namun untuk musim hadapan, Mbappe dijangka akan bermain di posisi sayap kiri dan Vinicius Jr di sayap kanan.

Posisi tersebut juga dianggap keramat buat peminat Real Madrid kerana pernah diisi oleh Cristiano Ronaldo serta menyerlahkan bakat sebenarnya.

Sumber:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN