Kelab liga utama Jepun, Sanfrecce Hiroshima dilaporkan telah menghantar tawaran rasmi untuk mendapatkan penyerang utama Muangthong United, Teerasil Dangda.
Wakil dari juara 3 kali Liga Jepun itu sudah menemui wakil pengurusan Muangthong United untuk berbincang lebih lanjut mengenai tawaran itu.
Pengarah kelab Muangthong United, Ronnarit Suewaja mengesahkan berita itu dan enggan mengulas tentang keputusan yang dicapai.
“Sekarang Teerasil sudah pun dimaklumkan tentang tawaran rasmi dari pihak Sanfrecce Hiroshima dan dia berpuas hati dengan tawaran tersebut.” jelasnya.
Bulan Lepas Teerasil turut dikaitkan dengan perpindahan ke juara J-League musim ini, Kawasaki Frontale tetapi pasukan Sanfrecce Hiroshima lebih serius untuk mendapatkan khidmat penyerang yang berusia 29 tahun itu.
Teerasil kini sedang bercuti di Sepanyol dengan keluarganya dan akan membuat keputusan mengenai tawaran itu sebaik sahaja dia sudah pulang ke Thailand.
Jika semuanya berjalan lancar, dan Teerasil menerima tawaran tersebut, beliau akan menjadi pemain ke 3 dari Thailand yang akan beraksi dalam saingan J.League selepas Chanathip Songkrasin (Consadole Sapporo) dan Jakkit Wachpirom (FC Tokyo U23).
Pada tahun 2014, Teerasil Dangda muncul pemain pertama dari Thailand untuk beraksi dalam Liga Sepanyol apabila dia hadir selaku pemain gantian ketika Almeria seri 1-1 menentang Espanyol.
Pemain itu bersama kelab berkenaan atas pinjaman semusim daripada kelab Liga Perdana Thailand, Muangthong United. Dia kini berhajat mahu mendapatkan perpindahan tetap ke kelab Sepanyol itu yang nyaris tersingkir ke liga bawah, musim lalu ketika menyudahkan cabaran dengan hanya satu mata daripada zon bahaya.
Sebelum ini, Teerasil menyertai pasukan juara Sepanyol, Atletico Madrid untuk satu tempoh singkat, tahun lalu tetapi tidak beraksi dalam pasukan utama.
Dia turut menjalani ujian pemilihan bersama Manchester City pada 2007 ketika kelab itu dimiliki Thaksin Shinawatra. Dia tidak dapat memenuhi hajat itu kerana gagal mendapat permit kerja.