Tottenham Hotspur Tekad Lebur Rekod Cemerlang Manchester City

Pemain tengah muda Tottenham Hotspur dan England, Harry Winks mencabar rakan sepasukan yang lain untuk membuktikan kata-kata Pep Guardiola sebelum ini adalah salah dengan beraksi cemerlang sebagai satu unit untuk meleburkan rekod 15 kemenangan berturut-turut Manchester City.

Setelah berjaya menewaskan Chelsea, Arsenal, Liverpool dan juga Manchester United, Tottenham Hotspur akan berhadapan dengan Manchester City pada awal pagi Ahad akan datang, sebagai pencabar terakhir di kalangan 6 pasukan utama di saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), menuju separuh musim pertama.

(Photo by Tottenham Hotspur FC/Tottenham Hotspur FC via Getty Images)

Musim lalu Manchester City menang dalam semua enam perlawanan awal EPL. Namun selepas itu, mereka tewas 2-0 kepada Tottenham Hotspur, dan turut menyaksikan City hanya mampu merekodkan tujuh kemenangan, daripada 16 perlawanan seterusnya selepas itu.

Namun prestasi Manchester City pada musim ini adalah berbeza ketika mereka berhadapan dengan Tottenham pada musim lalu. Kali ini mereka menantikan kunjungan anak buah Mauricio Pochettino untuk melebarkan rekod kemenangan kepada 16 perlawanan berturut-turut.

Tottenham pula cuba mengulangi apa yang mereka pernah lakukan kepada Chelsea pada Januari lalu, apabila menamatkan rentetan 13 kemenangan berturut-turut skuad Antonio Conte di White Hart Lane.

Untuk rekod, 2 pertemuan sebelum ini di Stadium Etihad, Tottenham telah mencatatkan satu keputusan seri, dan satu kemenangan ketika berhadapan dengan City.

Sebelum ini kenyataan daripada Pep Guardiola pernah mendapat reaksi kurang senang daripada Mauricio Pochettino, apabila melabel kelab London tersebut sebagai ‘Pasukan Harry Kane’.

(Photo by Tottenham Hotspur FC/Tottenham Hotspur FC via Getty Images)

Bagi Pochettino, kenyataan tersebut tidak menghormati Tottenham sebagai sebuah kelab, dan kenyataan dari Guardiola itu turut dianggap sebagai mencemar semangat kesukanan.

Ketika ditanya wartawan jika peluang beraksi di Etihad adalah medan terbaik untuk membuktikan Guardiola silap dalam kenyataannya, pemain berusia 21 tahun Harry Winks berkata:

“Sudah tentu. Kami mahu ke Etihad untuk memburu kemenangan. Itu adalah perkara terpenting. Kami tahu bagaimana bagusnya kami ketika tampil sebagai sebuah pasukan. Etihad adalah gelanggang terbaik untuk menunjukkan kualiti dan memberi kenyataan yang bertentangan.”

“Kami akan memberikan saingan. Ia terpulang kepada pengurus untuk merangka, kami akan hadir ke perlawanan tersebut dengan cara-cara kami sebelum ini. Kami harus positif, sentiasa fokus dan cuba untuk menewaskan mereka.”

“Saya tahu ia akan menjadi sangat sukar. Mereka adalah sebuah unit yang mantap, dan kami harus hormati itu. Sudah tentu sasaran kami ialah untuk membawa pulang 3 mata dari Etihad. Lebih dari itu, ia adalah satu insentif dan kepuasan peribadi untuk menamatkan rentetan kemenangan mereka.”

(Photo by Martin Rickett/PA Images via Getty Images)

Pemain pertahanan Tottenham Hotspur, Danny Rose pula berkata, bekas rakan sepasukan mereka pada musim lalu yang berhijrah ke Etihad, Kyle Walker akan dianggap sebagai musuh saat mereka melangkah ke dalam padang.

Namun demikian, Rose berpendapat Walker sememangnya layak untuk menyertai sebuah kelab seperti Manchester City selepas prestasi menakjubkan di White Hart Lane.

“Tidak akan ada perasaan janggal. Walker sememangnya layak untuk menyertai City. Walker telah membuktikan dirinya antara bek kanan terbaik di England sejak dua atau tiga musim terdahulu. Data dan statistik prestasi beliau telah membuktikannya.”

“Saya tidak ada kata-kata lain selain daripada ucapan selamat maju jaya buat Walker ketika beraksi bersama City. Kecuali ketika berhadapan dengan kami, saya tidak akan ucapkan sedemikian.”

“Pada hujung minggu ini, Walker adalah musuh kami. Tidak ada makna persahabatan sehingga perlawanan tersebut selesai,” ujar Rose.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN