Liga Super baru sahaja membuka tirai dan melihat sambutan luar biasa penyokong dari setiap pasukan yang bertanding membuatkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Malaysian Football League (MFL) telah bekerjasama untuk mengadakan tayangan skrin besar kepada peminat melibatkan perlawanan yang terpilih.
Inisiatif dari pihak KBS ini adalah satu langkah yang harus diberikan pujian kerana meneruskan acara yang pernah dilakukan ketika saingn Piala AFF sebelum ini.
MFL & KBS Lancar Kerjasama Adakan Tayangan Skrin Besar Untuk Liga M
Menurut kenyataan rasmi dari Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, untuk bulan Mac ini terdapat empat perlawanan menjadi pilihan dan ia melibat pasukan yang berbeza mengikut lokasi yang sudah ditetapkan.
Adakah perkara ini merupakan satu langkah tepat dan dapat memberi kebaikan kepada penyokong kelab tersebut?
Pelbagai aktiviti dapat dilakukan bagi menarik lebih ramai penduduk setempat mahupun peminat setia untuk hadir dan ini adalah tugas KBS bersama pihak pengurusan kerana jika tiada tindakan lanjut, ia amat merugikan.
Antara yang boleh dilakukan adalah jualan jersi kepada penyokong dan sedikit sebanyak dapat mengelak dari sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menjual jersi tiruan. Waktu inilah pihak pengurusan perlu mengambil peluang dengan memberi tawaran harga yang menarik kepada orang ramai.
Bagi peminat yang hadir, sudah pasti akan mencari jersi pasukan kesayangan mereka dan inilah membuka peluang untuk pihak pengurusan menambah pendapatan pasukan. Oleh yang demikian, peluang terbaik ini harus di manfaatkan sebaik mungkin kerana jika hendak mengharapkan penonton hadir ke stadium belum tentu akan penuh.
Selain itu, pasukan tersebut juga dapat mendekatkan diri dengan penyokong dan membina satu hubungan yang baik agar mereka terus setia bersama pasukan tanpa mengira waktu menang mahupun kalah.
Tayangan skrin besar ini juga sebenarnya memberi peluang kepada orang ramai membawa ahli keluarga tanpa mengira usia untuk menonton perlawanan tersebut kerana ia diadakan di tempat terbuka. Ia juga peluang terbaik bagi sesetengah penyokong berkumpul bersama-sama kerana ada di antara mereka yang mengalami kesukaran ke stadium.
Ia akan menjadi lebih menarik jika ada wakil ultras bersama penonton dengan pukulan gendang sambil menyanyi lagu agar suasana ini akan rasa seperti di stadium.
Ada yang beranggapan tayangan skrin besar ini diadakan ketika perlawanan melibatkan pasukan tuan rumah akan tetapi ia sebenarnya diadakan ketika pasukan itu berkunjung ke tempat lawan dan bagi mereka yang tidak berkesempatan ke stadium.
Ini adalah masa terbaik untuk memberi sokongan bersama penyokong yang lain.
Namun begitu, disebalik kebaikan yang dilakukan oleh pihak KBS ini, ada juga sebenarnya memberi kesan kepada penyiar rasmi seperti Astro Arena itu yang merupakan rakan strategik utama musim ini.
Tujuan utama pihak Astro sanggup menyiarkan banyak perlawanan di saluran mereka adalah untuk meningkatkan jumlah tontonan dan langganan.
Inisiatif dari kerajaan ini sudah pasti memberi kesan sedikit sebanyak kepada pihak Astro kerana orang ramai boleh hadir ke tayangan skrin besar tanpa perlu melanggan Astro.
Secara kesimpulannya, usaha baik dari pelbagai pihak ini adalah satu langkah baik selain ia memberi peluang kepada peminat untuk mengenali lebih dekat pasukan kesayangan mereka.
Dari segi isu yang diutarakan sebentar tadi, sudah tentu kedua-dua pihak sudah berbincang dan mencari jalan terbaik selain menguntungkan kedua-dua pihak. Mungkin sejumlah bayaran sudah diberikan kepada Astro untuk tujuan ini.
Kepada peminat yang tinggal berhampiran tempat tayangan skrim besar, jangan lupa hadirkan diri untuk memeriahkan lagi suasana selain dapat menambah kenalan baharu.