Berita perpindahan Eden Hazard ke Real Madrid semakin bertiup kencang. Namun demikian pengurus Chelsea, Maurizio Sarri menyifatkan nilai £100 juta adalah sangat rendah – sekiranya Hazard memilih untuk berhijrah ke Santiago Bernabeu pada musim panas nanti.
Walaupun kurang bersetuju dengan nilai tersebut, Sarri berkata beliau dan pihak kelab harus menghormati pilihan pemain antarabangsa Belgium itu nanti.
Hazard menjaringkan dua gol untuk membantu Chelsea menewaskan West Ham 2-0; sekaligus melonjakkan Chelsea ke tangga ketiga.
Gol pertama oleh Hazard adalah larian individu yang gagal disekat oleh pertahanan pasukan pelawat – kebolehan yang membuatkan Hazard sering dilabel sebagai pemain terbaik di Liga Perdana Inggeris.
Beliau kemudiannya melengkapkan kemenangan Chelsea dengan menyudahkan hantaran Ross Barkley pada minit akhir perlawanan – untuk melengkapkan kemenangan 2-0 di Stamford Bridge.
ESPN sebelum ini melaporkan Chelsea risau tidak ada apa yang mereka boleh lakukan untuk mengelakkan Hazard dari menyertai Madrid pada akhir musim ini. Hazard kini sedang berada di tahun terakhir kontrak, dan komen oleh Sarri selepas kemenangan ke atas West Ham adalah indikasi kem Chelsea sudah bersedia kehilangan pemain bintang mereka itu.
“Tiada apa yang boleh saya lakukan. Pihak kelab juga bersetuju dengan pendapat saya. Jika benar Eden [Hazard] mahukan pengalaman lain, maka sukar untuk mengekalkan beliau di sini.
“Kami berusaha untuk memperbaiki diri, dan menjadi antara kelab terbaik di England dan Eropah, namun kami perlu menghormati keputusan beliau.”
Ditanya mengenai nilai £100 juta untuk Hazard ke Madrid, Sarri membalas: “Terlalu rendah. Berdasarkan nilai pasaran pemain, ia terlalu rendah.
“Saya tidak tahu [nilai sebenar]. Kita semua tahu bagaimana pasaran pemain pada jendela perpindahan sebelum ini. Ianya mustahil untuk menggantikan Hazard dengan pemain lain.”
Hazard bagaimanapun enggan bercakap mengenai minat Real Madrid untuk mendapatkan khidmat beliau, sebaliknya hanya mahu memberikan fokus kepada Chelsea buat masa ini.