Quantcast

BERITA

VIDEO: Santi Cazorla Menangis Sendirian Di Luar Bilik Persalinan Selepas Gagal Sudahkan Penalti

Bekas bintang Arsenal, Santi Cazorla dilihat menangis sendirian di luar bilik persalinan selepas gagal menyudahkan sepakan penalti di minit akhir perlawanan untuk membantu Villareal keluar dari zon bahaya La Liga.

Cazorla dipalit beberapa siri kecederaan sejak beberapa tahun lalu, kembali menyertai Villareal – di mana segalanya bermula buat beliau – setelah enam musim bersama Arsenal.

Vilarreal sedang berjuang untuk mengelakkan diri tersingkir dari La Liga, dan sedang ketinggalan 2-1 kepada Real Betis ketika mereka memperolehi sepakan penalti ketika perlawanan masa sebenar berbaki seminit.

Pemain perancang berusia 34 tahun itu tampil untuk menyudahkan penalti sekaligus untuk mendapatkan satu mata berharga.


Namun sepakan lemah Cazorla sekadar memudahkan tugas penjaga gol Real Betis, Pau Lopez dengan tangkapan mudah.

Selepas mengikat Barcelona 4-4 pada minggu lalu, satu lagi mata akan memastikan skuad ‘Yellow Submarine’ keluar dari zon penyingkiran.

Namun kekalahan bermakna Villareal kini berada bersama di zon penyingkiran – di bawah Valladolid yang mempunyai jumlah mata yang sama tetapi dipisahkan oleh perbezaan jaringan.

Cazorla jelas sekali tidak boleh menyembunyikan kekecewaan dan emosi beliau selepas kekalahan tersebut.

Sebuah video telah tular, menunjukkan beliau mengasingkan diri di luar bilik persalinan sambil menangis. Kelihatan juga seorang pemain lain cuba menenangkan beliau.

Cazorla dan Villareal masih memiliki tujuh perlawanan untuk diharungi untuk menyelamatkan musim mereka, bermula dengan Girona pada hujung minggu ini.

Mungkin inilah maksud bermain bola sepak “demi lencana di dada” yang sebenar-benarnya.