Jaringan tunggal dari Samuel Umtiti sudah cukup buat Perancis bagi menempah tiket ke perlawanan akhir selepas menewaskan Belgium 1-0 di Saint Petersburg Stadium sebentar tadi.
Separuh masa pertama
Belgium dilihat menguasai permainan di babak pertama yang berkesudahan tanpa jaringan dengan penguasaan bola sebanyak 60% berbanding Perancis.
Penguasaan tersebut bagaimanapun hanya mampu menghadirkan satu percubaan tepat kearah gol yang dilakukan pemain pertahanan, Toby Alderweireld.
Serangan Perancis tampak lebih berbahaya berbekalkan kelebihan kepantasan dan teknik individu yang dimiliki Kylian Mbappe.
Peluang keemasan Les Blues muncul pada minit ke-18 apabila ledakan padu luar kotak penalti daripada Blaise Matuidi dinafikan Thibaut Courtois.
Courtois sekali lagi cemerlang menafikan percubaan skuad bimbingan Didier Deschamps pada minit ke-39.
Percubaan dari Benjamin Pavard yang menerima lorongan menarik dari Mbappe, telah dihalang oleh penjaga gol tinggi lampai itu menggunakan kakinya.
Separuh masa kedua
Enam minit selepas perlawanan kembali bersambung, penyokong Perancis melonjak kegembiraan selepas Samuel Umtiti berjaya membuka tirai jaringan.
Pertahanan berusia 24 tahun itu menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru yang diambil Antoine Griezmann.
Mbappe terus mempamerkan teknik individu yang berkualiti dengan melakukan umpanan menarik terhadap Olivier Giroud dalam kotak penalti Belgium.
Percubaan penyerang Chelsea itu bagaimanapun terlebih dahulu dipintas Vincent Kompany.
Tertekan untuk mencari jaringan penyamaan, Roberto Martinez memasukkan Dries Mertens bagi menggantikan Mousa Dembele dalam usaha memburu jaringan.
Kemasukan Mertens jelas memberikan sedikit kelainan dengan hantaran lintang yang sering dilakukannya begitu membahayakan gawang Perancis.
Belgium tidak berputus asa bagi memberikan tekanan buat Perancis dan percubaan dari jarak jauh oleh Axel Witsel pada minit ke-81 dihampakan Hugo Lloris yang ternyata lebih bersedia.
Akhirnya, saat yang dinantikan menjelma iaitu tiupan wisel penamat dari Andres Cunha yang sekaligus mengesahkan kemaraan Perancis ke perlawanan akhir Piala Dunia 2018 bagi menanti pemenang di antara Croatia dan England.