Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe memuji barisan anak buahnya kerana mempamerkan aksi yang hebat biarpun tewas 1-2 kepada UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam tadi.
Begitupun, Tan Cheng Hoe menjelaskan yang Harimau Malaya sepatutnya telah menjaringkan beberapa gol dalam 20 minit pertama namun ianya dipersia-siakan oleh jentera serangan yang dikemudi oleh penyerang tunggal, Norshahrul Idlan Talaha.
Norshahrul Idlan Talaha turut dibantu oleh penyerang ‘terapung’ di belakangnya, Syafiq Ahmad yang cemerlang dalam dua aksi kelayakan, selain Mohamadou Sumareh dan Safawi Rasid.
Peluang paling hampir pastinya sentuhan Syafiq Ahmad pada minit ke-14, hasil hantaran lintang rendah Matthew Davies yang disudahi dengan terjahan tersasar melewati sebelah kiri gawang gol UAE.
Pengendali berusia 51 tahun itu percaya Malaysia juga berpeluang untuk mengikat pasukan yang menduduki ranking ke-65 dunia itu sebelum penyerang sensasi, Ali Mabkhout memusnahkannya.
“Secara keseluruhan pemain menunjukkan persembahan yang hebat tetapi kami gagal mengawal tempo dan intensiti perlawanan.
“Pada separuh masa pertama, terutamanya dalam 20 minit pertama kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol.
“Pemain tahu mereka kena meningkatkan tempo dan bermain dengan penuh keterujaan kerana menentang pasukan yang lebih baik. Setiap peluang yang dicipta perlu disempurnakan,” ujarnya dalam sidang media sejurus perlawanan tersebut berakhir.
“UAE berjaya memperoleh dua peluang terbaik dan mereka telah menterjemahkannya kepada gol,” tambahnya lagi.
Tempo dan intensiti skuad negara terencat dan menjadi perlahan selepas jaringan penyamaan oleh Ali Mabkhout pada minit ke-43. Malaysia kembali mencipta banyak peluang di penghujung aksi, namun sentuhan pemusnah yang dicari gagal mengegar jaring.
Brendan Gan dan pemain gantian, Syamer Kutty Abba memiliki peluang untuk jaringan penyamaan namun dikecewakan oleh pertahanan dan ketangkasan penjaga gol lawan, Khalid Eisa.
Malaysia terlebih dahulu mendahului aksi ketika perlawanan baru berusia satu minit dengan Syafiq Ahmad menggunakan kelebihan tandukkannya untuk meledak gol pertama perlawanan selepas menerima hantaran lintang kemas Matthew Davies.
Minit ke-75, Farizal Marlias tertewas buat kali kedua selepas larian deras Ali Mabkhout melewati Adam Nor Azlin sebelum akhirnya berjaya meledak gol kedua dan kemenangan buat UAE.
Pada Oktober, Malaysia akan beraksi di luar Bukit Jalil iaitu dua aksi menentang Vietnam (10 Oktober) untuk aksi ketiga kelayakan dan persahabatan menentang Hong Kong pada 15 Oktober depan.
Kredit Featured Image: Aremilworks