Semalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan senarai 26 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya sebagai persiapan menghadapi kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 pada bulan Jun ini.
Bek kiri JDT, Corbin Ong dan pemain pertahanan tengah PKNS FC, Rodney Celvin adalah antara pemain yang mendapat panggilan daripada Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe bagi memperkuatkan pasukan kebangsaan.
Malah, Cheng Hoe turut melakukan kejutan apabila mengugurkan Zaquan Adha yang memikulkan tugas sebagai kapten ketika dalam saingan Piala Suzuki AFF tahun lalu.
Seramai 11 pemain yang beraksi dalam saingan Piala Airmarine pada bulan Mac lalu turut disisihkan termasuk penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, Nazirul Naim Che Hashim dan Hazwan Bakri.
Selain itu, enam pemain muda yang beraksi cemerlang ketika dalam saingan kelayakan Piala AFC B-23 turut dipilih iaitu Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Faisal Halim, Syamer Kutty, Dominic Tan Jin Jung, dan Syahmi Safari.
“Saya rasa enam pemain ini menjadi tonggak utama pasukan pada Piala AFF Disember lalu kecuali Dominic dan Faizal. Malah, saya lihat peningkatan prestasi ditunjukkan mereka dalam B-23 cukup baik.
“Ini tentunya untuk masa depan pasukan kebangsaan kerana mereka masih muda lagi dan akan menjadi nadi utama pasukan di masa depan,” katanya kepada Arena Metro
Cheng Hoe turut berharap pemain yang terpilih kali ini dapat memberikan komitmen yang tinggi memandangkan mereka akan menghadapi perlawanan sebenar pada musim perayaan.
“Apa yang penting, setiap pemain yang terpilih perlu berkorban untuk negara memandangkan ia akan berlangsung pada bulan puasa dan musim perayaan Aidilfitri.
“Mereka perlu fokus sepanjang sesi latihan dan mengambil serius setiap perlawanan,” katanya dalam Stadium Astro.
Mengulas mengenai kemasukan pemain naturalisasi kedua negara selepas Mohamadou Sumareh, Cheng Hoe bagaimanapun menjelaskan beliau lebih berminat untuk memberi tumpuan kepada pemain tempatan terlebih dahulu.
“Saya tidak terlalu terburu-buru untuk mendapatkan pemain naturalisasi kerana saya mengharapkan pemain-pemain tempatan dapat memberikan persembahan terbaik,” tambahnya.